Pelajar Berzikir Dalam Perigi Sedalam 5.5 Meter Sebelum Diselamatkan Bomba Di Wakaf Bharu

Seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah agama di Wakaf Bharu, Tumpat cedera di kepala selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam 5.5 meter di perkarangan sekolah berkenaan, pagi tadi.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 pagi apabila pelajar berusia 17 tahun itu dipercayai duduk di atas perigi yang bertutup menggunakan kepingan konkrit nipis sebelum terjatuh.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Azmi Sulaiman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.12 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami melihat pelajar itu berada dalam perigi sedalam 5.5 meter dengan air pada paras pinggang mangsa.

“Sementara menunggu bantuan tiba, dia dalam keadaan sedar dan berzikir manakala kepalanya juga mengalami kecederaan dipercayai akibat terhantuk di perigi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Azmi, mangsa berjaya dinaikkan menggunakan tali dan tangga, dengan operasi menyelamat mengambil masa kurang 40 minit.

Beliau berkata, difahamkan pelajar itu sepatutnya menduduki ujian pada jam 11 pagi dan ketika kejadian berlaku, mangsa sedang berbual bersama rakan sebelum duduk di atas penutup perigi berkenaan.

Katanya, sebelum bomba tiba, tukang kebun sekolah sudah cuba menyelamatkan mangsa dengan turun ke dalam perigi namun tidak berjaya.

“Tukang kebun hanya berjaya turun sehingga separuh kedalaman kerana berasa sesak nafas sebelum naik semula dan menghubungi pasukan bomba.

“Pada kedalaman itu memang mempengaruhi tekanan oksigen namun pelajar itu hanya mengalami kecederaan di kepala,” katanya.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut.


Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

Lelaki Ditemukan Maut Dengan Kesan Tikaman Dalam Bilik Mandi Di Kota Bharu
|
Seorang lelaki berusia 28 tahun ditemukan maut dengan kesan…
Kerajaan Kelantan Tegas Terhadap Perlombongan Haram Selepas Tragedi Di Jeli
|
Kerajaan Negeri Kelantan melahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap…
Laluan Jalan Lojing – Gua Musang Kini Dibuka Semula Kepada Semua Kenderaan
|
Laluan FT185 Seksyen 107.60 Jalan Lojing – Gua Musang…
45 Rumah Di Pasir Mas Dikesan Buat Sambungan Haram Bekalan Air
|
Sebanyak 45 rumah di kawasan perumahan Prima Lubok Jong,…
Penoreh Getah Dipenjara 12 Bulan Cederakan Anggota Polis Di Gua Musang
|
Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh…
Empat Motosikal Polis Trafik Musnah Dalam Kebakaran Di IPD Pasir Puteh
|
Empat motosikal polis trafik musnah dalam satu kebakaran yang…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!