Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Datuk Seri Najib Razak membayar ganti rugi berjumlah AS$1.3 bilion kepada SRC International Sdn Bhd selepas mahkamah mendapati berlaku pecah amanah serta salah guna kuasa oleh bekas Perdana Menteri itu.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin selepas membenarkan saman sivil yang difailkan SRC terhadap Najib.
Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar ganti rugi berkaitan konspirasi, faedah sebanyak lima peratus setahun, kos, serta relif lain yang difikirkan sesuai.
Dalam penghakiman yang dibacakan selama hampir empat jam, Ahmad Fairuz berkata mahkamah mendapati Najib selaku penasihat emeritus SRC memegang kuasa mutlak dalam setiap keputusan penting melibatkan syarikat itu, bermula daripada penubuhan hingga usaha menutup penyelewengan.
Menurut hakim, Najib memainkan peranan utama dalam penubuhan SRC sebagai anak syarikat 1MDB pada Januari 2011, selain mengarahkan pemindahan pemilikan SRC daripada 1MDB kepada Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc) pada 2012.
Langkah itu, kata mahkamah, menyebabkan SRC dikeluarkan daripada pengawasan lembaga 1MDB dan diletakkan secara langsung di bawah kawalan Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu.
Hakim turut menyatakan Najib berhubung secara peribadi dengan Pengerusi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada 2011 sebelum sebarang resolusi rasmi lembaga dibuat, sekali gus menunjukkan pinjaman pertama SRC merupakan inisiatif beliau.
Mahkamah juga mendapati Najib menyebabkan pindaan perlembagaan syarikat diperkenalkan yang memerlukan kelulusan beliau sendiri sebagai pemegang saham.
Selain itu, Najib turut didakwa mengarahkan penyaluran dana ke SRC BVI serta anak syarikat BVI, yang disifatkan sebagai struktur tanpa tujuan pelaburan sah, sebaliknya direka bagi memudahkan penyelewengan.
Ahmad Fairuz berkata Najib menerima AS$120 juta daripada dana yang diselewengkan ke dalam akaun peribadinya.
Prosiding hari ini turut dihadiri peguam mewakili SRC, Datuk Lim Chee Wee, manakala Najib diwakili Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Dalam penghakiman itu, hakim menegaskan tindakan Najib bukan sekadar kecuaian atau kesilapan pertimbangan, sebaliknya merupakan penipuan yang disengajakan dan dirancang demi kepentingan diri.
Justeru, mahkamah memutuskan Najib bertanggungjawab sebagai pemegang amanah konstruktif ke atas aset SRC yang diselewengkan dan dikehendaki mengembalikan dana serta keuntungan yang diperoleh.
Mahkamah Putus Najib Perlu Bayar Semula Dana SRC
Mahkamah turut mendapati Najib bertanggungjawab membayar semula dana syarikat dan pampasan masing-masing berjumlah AS$1.18 bilion serta AS$120 juta.
Dalam masa sama, mahkamah menolak tuntutan Najib terhadap pihak ketiga yang membabitkan lima individu termasuk beberapa bekas pengarah SRC.
Mahkamah menyifatkan tuntutan itu sebagai percubaan memindahkan liabiliti kepada pihak lembaga pengarah dengan menggunakan hujahan sama seperti dalam pembelaannya terhadap plaintif.
Untuk rekod, SRC di bawah pengurusan baharu memfailkan saman sivil AS$1.18 bilion pada 7 Mei 2021 terhadap Najib serta beberapa bekas pengarah SRC.
Saman itu difailkan sebagai sebahagian usaha SRC dan entiti berkaitan untuk mendapatkan semula dana yang didakwa hilang dalam transaksi berkait skandal 1MDB.
Najib kini menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
