Hasil Seni Anak Kelantan, Lukisan Bertatah Emas Dan Swarovski Kini Jadi Milik Istana Brunei

Seorang pemuda dari Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini melakar sejarah tersendiri apabila lukisan potret Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Sultan Hassanal Bolkiah hasil karyanya kini menjadi milik Istana Brunei.

Lebih membanggakan, karya istimewa sempena sambutan hari puja usia Putera Mahkota itu kini ditempatkan di pejabat baginda di Jabatan Perdana Menteri Brunei.

Pelukis berkenaan, Muhammad Darwisy Mustafani, 25, atau lebih dikenali sebagai Wisyilukis berkata, peluang luar biasa itu bermula selepas beliau menerima mesej di Instagram daripada pegawai Angkatan Bersenjata Diraja Brunei pada 13 November lalu.

lukisan emas putera mahkota brunei


Terpilih Pada Saat Akhir

Menurut Muhammad Darwisy, pada awalnya beliau tidak meletakkan harapan tinggi selepas dimaklumkan hanya sebagai cadangan pelukis pada saat akhir.

Namun selepas dua minggu menunggu, pegawai berkenaan menghubunginya semula dan memaklumkan beliau terpilih menghasilkan potret Putera Mahkota Brunei sempena sambutan hari puja usia baginda.

“Saya diberikan tempoh hanya 20 hari untuk menyiapkan lukisan tersebut, sedangkan kebiasaannya saya memerlukan sekurang-kurangnya sebulan setengah bagi menyiapkan satu karya,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.


Hampir Tidak Tidur Siapkan Lukisan

Anak kelima daripada lapan beradik yang juga bekas pelajar jurusan seni bina itu berkata tempoh singkat tersebut memaksanya bekerja hampir tanpa henti.

Dalam tiga hari terakhir menyiapkan karya berkenaan, beliau hanya tidur kira-kira sejam sehari bagi memastikan lukisan siap mengikut masa yang ditetapkan.


Dihiasi 1,000 Kristal Swarovski Dan Emas Tulen

Tambah beliau, potret berkenaan dihiasi dengan kira-kira 1,000 butir kristal Swarovski hitam selain kepingan emas wafer 999 sebanyak 20 keping.

Setiap kepingan emas itu bernilai kira-kira RM180.

Disebabkan emas tersebut sangat lembut, tiga keping mengalami kerosakan ketika proses menampal.

Emas berkenaan kemudian dipotong menjadi 52 kepingan kecil yang melambangkan usia Putera Mahkota Brunei yang juga Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri Brunei.


Guna Kain Tenunan Asli Brunei

Muhammad Darwisy berkata potret tersebut dihasilkan menggunakan cat akrilik di atas Kain Jong Sarat Tenunan Asli Brunei dengan corak Silubang Bangsi sebagai latar belakang.

Latar itu turut dihiasi kristal Swarovski dan kepingan emas selain menampilkan bayangan bangunan Kementerian Pertahanan Brunei bagi menghasilkan kesan tiga dimensi.

Potret separa badan Putera Mahkota itu menggambarkan baginda mengenakan pakaian istiadat tentera semasa Majlis Upacara Tamat Latihan Pegawai Kadet Pengambilan Ke-24 pada 15 Januari lalu.

Karya berkenaan dipasang dalam bingkai kayu solid yang diimport dari Sepanyol bersaiz 131 sentimeter tinggi dan 110 sentimeter lebar serta dilengkapi lampu LED di bahagian belakang bagi menghasilkan pencahayaan lembut pada potret.


Hantar Sendiri Ke Brunei

putera mahkota brunei


Mengimbau detik menyerahkan lukisan tersebut, Muhammad Darwisy berkata beliau memilih untuk menghantarnya sendiri ke Brunei kerana bimbang berlaku kerosakan jika dihantar menggunakan perkhidmatan kurier.

“Saya terbang dari Kelantan ke Kuala Lumpur sebelum meneruskan perjalanan ke Brunei.

“Setibanya di sana saya disambut pegawai tentera dan diperkenalkan kepada Menteri Pertahanan Brunei sebelum menghadiri majlis santapan bersama baginda,” katanya.

Beliau juga diberi peluang menghadiri sesi sembah kenal pelukis bersama Putera Mahkota Brunei serta masuk ke istana untuk menyerahkan sendiri lukisan tersebut.

Menurutnya, beliau kemudian dimaklumkan bahawa baginda berkenan supaya lukisan itu dipindahkan ke pejabat baginda di Jabatan Perdana Menteri.


Impian Karya Di Setiap Istana

Berkongsi impian masa depan, Muhammad Darwisy berharap suatu hari nanti karya seni hasil tangannya dapat menghiasi setiap istana di Malaysia.


“Impian saya adalah untuk melihat setiap istana di negara ini memiliki sekurang-kurangnya satu lukisan hasil karya saya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

‘Punggung Isteri Menggerutu’ Antara 23 Alasan Pelik Penceraian Pasangan Muda
|
Punca perceraian dalam kalangan pasangan yang masih “setahun jagung”…
PGA Gagalkan Cubaan Seludup Minyak Masak Dan Gula Ke Thailand Di Rantau Panjang
|
Kegiatan warga Thailand yang membeli minyak masak dan gula…
Dua Anggota Tentera Maut Dipercayai Terkena Letupan Bom Semasa Latihan
|
Dua anggota tentera dilaporkan maut dipercayai terkena letupan bom…
Terkejut Nampak PGA, Lelaki Lari Tinggal Kereta Penuh Rokok Seludup Di Tumpat
|
Cubaan seorang penyeludup membawa masuk rokok putih seludup dipercayai…
8 Maut Selepas Pesawat Pengebom B-52 AS Terhempas Dan Terbakar Sejurus Berlepas
|
Lapan individu dilaporkan maut selepas sebuah pesawat pengebom B-52…
KPDN Sahkan Tiada Unsur Penipuan Dalam Iklan ‘Durian Percuma’ Tular Di Kota Bharu
|
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!