Seorang anggota polis cedera selepas berlaku pergelutan dengan orang awam ketika menjalankan operasi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Kuala Krai, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Mazlan Mamat berkata, kejadian berlaku ketika pasukan polis menjalankan operasi pemantauan dan kawalan keselamatan di sekitar kawasan pentadbiran daerah tersebut.
Operasi bermula sekitar jam 10 malam Jumaat melibatkan beberapa unit termasuk Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Balai Polis Kuala Krai.
Sekitar jam 12 tengah malam, polis membuat hebahan melalui kenderaan peronda (MPV) supaya orang ramai beredar dan menghentikan aktiviti pembakaran mercun terlarang.
Bagaimanapun, terdapat segelintir individu yang masih berdegil dan terus berkumpul di sepanjang jalan.
Keadaan menjadi lebih tegang apabila sekitar jam 2 pagi, polis mengesan aktiviti lumba haram membabitkan motosikal dan kereta antara lampu isyarat Batu Balai dan Guchil.
Malah, terdapat penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya sebelum salah seorang daripadanya terjatuh selepas melanggar motosikal lain ketika cuba mengelak pemeriksaan polis di Dataran Guchil.
Ketika anggota cuba menahan individu terbabit, berlaku pergelutan sehingga menyebabkan seorang anggota polis cedera.
Situasi bertambah tegang apabila sekumpulan orang awam mula berkumpul, mengganggu tugas polis selain bertindak melakukan provokasi dan mengeluarkan kata-kata ancaman.
Walau bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal secara profesional oleh pihak polis.
Operasi tersebut berakhir sekitar jam 6 pagi dengan tiga buah kereta dan tiga motosikal disita, selain 34 saman dikeluarkan serta dua individu ditahan.
Pihak polis kini sedang mengesan beberapa lagi individu dan kenderaan yang terlibat tetapi berjaya melarikan diri.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Sehubungan itu, Mazlan Mamat menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan provokasi serta menyambut perayaan dalam suasana harmoni tanpa menjejaskan ketenteraman awam.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
