Isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki sekali lagi menjadi perhatian apabila laporan media mendedahkan anggaran pendapatan dan nilai saham yang pernah dimilikinya.
Menurut laporan Malaysiakini, Azam sebelum ini menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan telah mengisytiharkan pegangan saham tersebut kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Bagaimanapun, isu itu terus dipersoalkan apabila seorang ahli politik mempersoalkan kemampuan seorang penjawat awam membeli saham yang dianggarkan bernilai ratusan ribu ringgit.
Azam dipetik dalam wawancara bersama The Vibes sebagai berkata, selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam dengan Gred Utama Turus II, pencen dan ganjaran yang diterimanya, ditambah gaji serta simpanan, adalah “lebih daripada mencukupi” untuk menampung pembelian saham tersebut.
Katanya, tiada apa yang menyalahi undang-undang bagi mana-mana warganegara memperoleh saham melalui pendapatan yang sah.
Anggaran Gaji Turus II
Menurut penelitian Malaysiakini terhadap dokumen awam dalam talian, jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM berada pada gred gaji Utama Turus II, iaitu antara kedudukan tertinggi dalam pengurusan tertinggi perkhidmatan awam.
Berdasarkan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia bermula Disember 2024, gred Turus II menawarkan gaji bulanan minimum RM11,380 dan boleh mencecah RM31,140.
Kenaikan tahunan pula adalah sembilan peratus, namun dihadkan kepada RM612.08 setahun bagi mereka yang telah mencapai gaji maksimum.
Selain itu, pegawai Turus II menerima elaun perumahan tetap RM2,500 dan elaun keraian RM5,100. Difahamkan terdapat juga beberapa elaun lain termasuk kemudahan pembantu peribadi, utiliti serta kenderaan rasmi dan pemandu.
Bagi penjawat awam yang berkhidmat lebih 30 tahun, pencen bulanan boleh mencecah sehingga 60 peratus daripada gaji terakhir. Mereka turut menerima bayaran ganjaran yang dikira berdasarkan formula 7.5 peratus darab jumlah bulan perkhidmatan dan gaji terakhir.
Secara pengiraan mudah, pegawai Turus II yang berkhidmat sekitar 40 tahun sehingga bersara boleh menerima ganjaran sekitar RM400,000 hingga melebihi RM1 juta serta pencen bulanan antara RM6,800 hingga RM18,600.
Isu Pegangan Saham
Isu ini kembali hangat selepas Bloomberg melaporkan Azam disenaraikan sebagai pemegang 17.7 juta saham dalam Velocity Capital Partner Bhd berdasarkan penyata tahunan yang difailkan pada 3 Februari tahun lalu.
Pada harga penutup Isnin, pegangan tersebut dilaporkan bernilai kira-kira RM800,000.
Azam berkata beliau telah mengisytiharkan pegangan itu kepada JPA dan memaklumkan saham tersebut telah dilupuskan pada tahun yang sama ia dibeli. Namun, beliau tidak menjawab isu ketidakpatuhan terhadap had RM100,000 bagi setiap syarikat yang dikenakan kepada penjawat awam.
Malaysiakini turut melaporkan Azam memiliki lebih 4.52 juta saham dalam Awanbiru Technology Berhad setakat 13 Januari, bersamaan pegangan 1.08 peratus.
Pada harga RM0.305 sesaham ketika itu, nilai pegangan berkenaan dianggarkan hampir RM1.38 juta. Harga terendah saham syarikat itu dalam tempoh lima tahun lalu ialah RM0.175 sesaham pada 12 Julai 2023.
Pendedahan ini mencetuskan gesaan supaya Azam meletakkan jawatan, selain menyeru Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil tindakan susulan lanjutan tempoh perkhidmatannya sebelum ini.
Segala perbahasan yang timbul kini tertumpu kepada persoalan pematuhan peraturan pemilikan saham oleh penjawat awam serta ketelusan dalam pengurusan tertinggi agensi penguat kuasa negara.
Sumber: Malaysiakini
SHARE:
