Polis Kelantan berjaya menggagalkan kegiatan penyeludupan migran selepas menahan 24 pendatang tanpa izin di tebing sungai Pasir Pekan Hulu, Wakaf Bharu, Tumpat.
Kesemua individu yang ditahan terdiri daripada warga Myanmar, China, Bangladesh dan Afghanistan, berusia antara dua hingga 42 tahun, dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah.
Ketua Polis Daerah Tumpat, ACP Mohd Khairi Shafie berkata, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat berjaya menahan tiga kenderaan yang disyaki digunakan dalam kegiatan penyeludupan migran, iaitu dua buah Nissan X-Trail dan sebuah Honda City.
“Bagaimanapun, pemandu ketiga-tiga kenderaan terbabit yang identitinya belum dikenal pasti berjaya meloloskan diri dengan melarikan diri ke kawasan tebing sungai,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, anggota polis dengan bantuan pasukan bomba cuba menjejaki suspek di kawasan tebing sungai, namun usaha tersebut gagal berikutan jarak penglihatan yang terhad serta keadaan kawasan yang gelap.
Hasil siasatan awal mendapati kesemua migran tersebut dipercayai memasuki negara ini melalui laluan sungai dengan menaiki bot dari Thailand.
Kesemua migran yang ditahan bersama kenderaan rampasan telah dibawa ke IPD Tumpat untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Sumber: Bernama
SHARE:
