Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berdepan kerugian hampir RM2 juta selepas gelombang pertama banjir bulan lalu menenggelamkan Kampus Kota di Pengkalan Chepa melebihi 0.5 meter, sekali gus menjejaskan banyak fasiliti universiti itu.
Menurut Naib Canselor UMK, Prof Datuk Dr Arham Abdullah, banjir tersebut merosakkan bilik kuliah, peralatan mengajar, perabot dan beberapa kemudahan lain yang perlu diganti segera.
“Kami telah memohon peruntukan daripada NADMA dan Kementerian Pendidikan Tinggi bagi memastikan peralatan yang terjejas dapat diganti secepat mungkin.
Pada masa yang sama, universiti turut menyalurkan dana dalaman sebagai langkah awal,” katanya.
Bagi persediaan menghadapi gelombang banjir kedua, Prof Arham berkata JPS telah memasang satu lagi pam tambahan di Kampus Kota, menjadikan keseluruhan lima buah pam beroperasi bagi mempercepat aliran keluar air.
Beliau ditemui pada Majlis Penyerahan Kurniaan Tengku Mahkota Kelantan, yang juga Pro Canselor UMK, kepada keluarga Allahyarham Muhammad Amidee Abdullah, pelajar pascasiswazah yang maut selepas kereta dipandunya terjunam ke dalam tasik di Kampus Jeli, minggu lalu.
Kurniaan tersebut disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UMK, Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan di kediaman keluarga arwah di Kampung Chawas, Tanah Merah.
Dalam masa sama, UMK turut mempertingkat aspek keselamatan di tiga kampusnya iaitu di Bachok, Jeli dan Kota Bharu termasuk menambah pencahayaan dan papan tanda keselamatan bagi mengelakkan tragedi seumpama yang menimpa Allahyarham Amidee berulang.
UMK kini mempunyai hampir 15,000 pelajar merangkumi ketiga-tiga kampusnya.
KD: Daripada banjir ke insiden pelajar, UMK memang diuji hebat kebelakangan ini. Harap semua penambahbaikan berjalan lancar demi keselamatan dan keselesaan pelajar.
Sumber: Berita RTM
