Penduduk di beberapa kawasan rendah di Kelantan diminta berwaspada susulan ramalan kemungkinan kejadian banjir bermula 14 hingga 17 Disember ini, melibatkan tujuh jajahan utama di negeri itu.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memaklumkan, jangkaan tersebut dibuat berikutan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini.
Menurut Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), jajahan yang dikenal pasti berisiko ialah Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh.
Bagi jajahan Pasir Mas, Tumpat dan Tanah Merah, kawasan terlibat berada dalam lembangan Sungai Kelantan dan Sungai Golok, manakala Machang dan Kota Bharu pula membabitkan lembangan Sungai Kelantan.
Sementara itu, Pasir Puteh melibatkan kawasan dalam lembangan Sungai Semerak, manakala Bachok pula membabitkan lembangan Sungai Semerak, Sungai Kemasin dan Sungai Gali.
Sehubungan itu, JPS akan menjalankan pemantauan berterusan dan mengemas kini hebahan amaran banjir sekiranya hujan signifikan terus berlaku di kawasan lembangan sungai terlibat, memandangkan banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh jangkaan.
“Semua agensi pengurusan bencana serta penduduk, khususnya di kawasan berisiko, diminta sentiasa berwaspada dan peka dengan arahan pihak berkuasa,” menurut kenyataan PRABN.
Orang ramai juga disarankan mendapatkan maklumat serta amaran terkini melalui laman sesawang publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook PublicInfoBanjir.
Sumber: Bernama, JPS
