Kos sara hidup di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Putrajaya direkodkan sebagai yang tertinggi di negara ini berdasarkan Indeks Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Mohd Uzir Mahidin, berkata analisis Indeks PAKW bagi isi rumah pada tahun 2024, dengan Kuala Lumpur dijadikan nilai rujukan pada 100 mata indeks, menunjukkan perbezaan ketara kos sara hidup antara negeri.
Menurut beliau, bagi isi rumah seorang, Selangor mencatat indeks tertinggi pada 92 mata indeks, diikuti Pulau Pinang (84.2) dan Putrajaya (83.1).
Sebaliknya, nilai terendah direkodkan di Kelantan dan Sarawak masing-masing pada 53.7 mata indeks, manakala Kedah mencatat 56.6 mata indeks.
Corak hampir sama turut dilihat bagi isi rumah dua orang, apabila Selangor kekal tertinggi dengan 91.4 mata indeks, diikuti Putrajaya dan Pulau Pinang masing-masing 84.6.
Nilai terendah pula dicatat di Kelantan (58), Kedah (58.7) dan Perlis (58.8).
Bagi isi rumah tiga orang, Selangor terus mendahului dengan 92.4 mata indeks, diikuti Putrajaya (84.8) dan Pulau Pinang (83.7), manakala indeks terendah direkodkan di Sabah (59.6), Perlis (60.6) dan Kedah (60.8).
Sementara itu, bagi isi rumah empat orang, Selangor sekali lagi mencatat indeks tertinggi pada 91.3 mata indeks, diikuti Putrajaya (84.7) dan Melaka (83).
Indeks terendah kekal di Sabah (59.4), Kedah (60.5) dan Perlis (60.9).
“Negeri dengan indeks tinggi seperti Selangor menunjukkan kos hidup yang lebih tinggi, manakala negeri dengan indeks rendah seperti Kelantan, Kedah dan Perlis mencerminkan kos hidup yang lebih rendah tetapi masih pada tahap kehidupan wajar,” katanya dalam satu kenyataan.
DOSM pada Selasa mengeluarkan laporan Indikator Kos Sara Hidup Malaysia 2024 yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai perbelanjaan diperlukan bagi mengekalkan kehidupan wajar dan penyertaan bermakna dalam masyarakat.
Indeks PAKW merupakan indikator baharu yang mengukur tahap perbelanjaan minimum bagi kehidupan wajar di peringkat negeri, daerah pentadbiran dan ibu negeri, dengan Kuala Lumpur dijadikan rujukan utama.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata kos kehidupan wajar bagi isi rumah seorang di Kelantan adalah 46.3 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur.
Ini bermakna jika isi rumah seorang di Kuala Lumpur memerlukan perbelanjaan PAKW sebanyak RM1,000, hanya RM537 diperlukan sekiranya tinggal di Kelantan.
“Bagi isi rumah empat orang pula, kos kehidupan wajar di Perlis adalah 39.1 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur.
Jika RM1,000 diperlukan di Kuala Lumpur, hanya RM609 diperlukan di Perlis,” katanya.
Di peringkat daerah pentadbiran, beliau memaklumkan hanya Petaling di Selangor mencatat Indeks PAKW melebihi nilai rujukan Kuala Lumpur bagi semua saiz isi rumah.
Bagi isi rumah seorang, Petaling merekodkan indeks tertinggi pada 103.3 mata indeks, diikuti Gombak (94.9) dan Johor Bahru (94.7), manakala indeks terendah dicatat di Pantu, Lingga dan Sebuyau di Sarawak.
Analisis bagi isi rumah dua, tiga dan empat orang menunjukkan trend yang sama, dengan Petaling kekal tertinggi, manakala Membakut di Sabah antara daerah dengan indeks terendah.
Sumber: Bernama, Berita Harian
