Seorang wanita warga emas yang cacat penglihatan terpaksa merangkak keluar dari rumahnya di Kampung Telok Sabang, Kota Samarahan, Sarawak untuk mendapatkan bantuan selepas beberapa hari tinggal bersama mayat anak perempuannya yang meninggal dunia di dalam rumah.
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan Superintendan Damataries Lautin berkata kejadian bermula pada 30 November lalu apabila anak wanita itu, berusia 48 tahun, mengadu sakit dada dan sesak nafas sebelum rebah di kediaman mereka.
Menurutnya, ibu berusia 69 tahun itu menyedari anaknya sudah tiada namun tidak mampu berbuat apa apa kerana bergantung sepenuhnya kepada deria sentuhan untuk bergerak.
Dia hanya menunggu dalam keadaan lemah, berharap ada jiran atau orang kampung yang melalui kawasan rumah tersebut.
Namun bau mayat yang semakin kuat sejak semalam memaksanya mengumpulkan tenaga terakhir untuk merangkak keluar dari rumah.
Wanita itu merangkak perlahan di atas laluan denai sempit sejauh kira kira 150 meter sambil memegang tebing dan rumput sepanjang jalan sebagai panduan sebelum berjaya sampai ke tepi jalan utama awal pagi tadi.
Orang awam yang menemui wanita itu segera menghubungi pihak berkuasa.
Pasukan polis dan unit forensik yang tiba di lokasi kemudian menemukan mayat anak wanita tersebut yang dipercayai telah meninggal dunia sejak lima hari.
Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak dan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian sebagai serangan jantung selepas tiga saluran jantung tersumbat sepenuhnya.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut SDR.
Sumber: Berita Harian
