Beberapa kawasan di ibu negara dilanda banjir kilat petang tadi selepas hujan lebat turun selama kira-kira satu jam, menyebabkan beberapa laluan utama dinaiki air.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Mohd Hafizan Hassan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.55 petang sebelum 18 anggota dan pegawai dari dua balai bomba digerakkan ke lokasi.
Antara kawasan terjejas termasuk Jalan Sentul Pasar di Taman Bahagia, Jalan Batu Bata di Titiwangsa Sentral, Jalan Haji Salleh di Sentul, Kampung Chubadak Dalam serta Batu 2½, Jalan Ipoh.
Menurutnya dalam kenyataan hari ini:
"Banjir yang berlaku hanyalah limpahan air dan semuanya telah surut. Tiada mangsa terlibat serta tiada kerosakan harta benda dilaporkan."
Di media sosial, beberapa pengguna turut berkongsi video dan gambar menunjukkan keadaan air naik di sekitar Bulatan Pahang, Jalan Tun Razak dan kawasan berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Beberapa laluan pusat bandar turut dilaporkan sesak berikutan situasi itu.
Sumber: Berita Harian
