‘Rembat patin’ pecah suasana lepas banjir surut di Jubakar Pantai, Tumpat

Sejurus air banjir mula surut di tebing Sungai Pengkalan Nangka, kawasan pintu air Jubakar Pantai kembali hidup dengan kehadiran penduduk tempatan yang turun ‘memburu’ patin liar yang hanyut bersama arus deras.

Fenomena tahunan yang sinonim sebagai ‘rembat patin’ itu seakan meniup semula semangat komuniti setempat.

Di bahu jalan, deretan joran tersusun rapat. Di tepi sungai pula, orang ramai berhenti sekadar mahu melihat aksi pemancing yang bersorak kecil setiap kali kelibat patin muncul sekejap-sekejap mengikut arus keluar dari pintu air.

Tinjauan Bernama mendapati fenomena itu berlaku apabila arus banjir dari Sungai Golok mengalir keluar melalui pintu air dan bertembung dengan air laut, menyebabkan ikan patin hanyut ke tali air sebelum cuba melawan arus untuk kembali ke sungai.

Setiap kali air mula reda, suasana berubah seperti mini pesta memancing satu keceriaan kecil selepas beberapa hari berdepan bencana.

Bagi pemancing berpengalaman Zaidi Awang, 56, yang sudah lebih dua dekad ‘berkampung’ di lokasi itu setiap kali musim banjir, teknik ‘rembat patin’ sebenarnya tidak memerlukan langsung umpan.

Zaidi yang berasal dari Kampung Sedar berkata patin seberat tiga hingga empat kilogram lazimnya berjaya didaratkan pemancing, manakala tangkapan terbesar pernah cecah 19 kilogram pada tahun 2014, cerita yang masih disebut-sebut pemancing veteran di situ.

Bagi pemancing muda, Najmi Mohd Najib, 25, cabaran sebenar bukan sekadar menunggu ikan makan, tetapi mengawal tarikan patin besar yang melawan arus deras di pintu air.

"Dasar sini banyak batu, mata kail senang tersangkut. Tapi kalau patin banyak, kita boleh nampak ia timbul kejap-kejap di permukaan. Masa tu peluang terbaik untuk tarik.

"Cuma joran biasa memang susah nak tahan kalau yang naik tu besar,"** katanya sambil menunjukkan joran yang sudah beberapa kali ‘tewas’.

Najmi berkata patin yang berjaya didaratkan sering dibeli orang pada harga RM12 hingga RM15 sekilogram, namun bagi kaki pancing, soal jual beli bukan fokus utama.



"Kepuasan 'rembat patin' lain macam. Kita lawan tenaga ikan liar yang melawan arus. Teknik dia pun aktif, kena ikut masa, ikut kekuatan arus. Bila dapat, rasa macam satu kemenangan kecil selepas banjir," ujarnya.

Sumber: Bernama

TERKINI

Lamine Yamal ‘Versi Kelantan’ Curi Perhatian Ketika Tayangan Akhir Piala Dunia
|
Bukan sahaja aksi final Piala Dunia FIFA menjadi tumpuan,…
Kelantan Kini Pengeluar Mangan Ketujuh Terbesar Dunia
|
Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa Kelantan kini berada pada…
Kelantan Roboh Premis Dan Tiga Rumah Haram Dibina Etnik Rohingya di Tanah Merah
|
Kerajaan Kelantan mengambil tindakan merobohkan sebuah premis dan tiga…
Kelantan RW Bertemu Selangor FC Dalam Aksi Pembukaan Liga Super
|
Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) bakal membuka kempen…
Ketua Polis Balai di Kelantan Wajib Buat Sekurang-kurangnya Satu Tangkapan Dadah Sehari
|
Polis Kelantan memperkenalkan strategi baharu dalam usaha membanteras penyalahgunaan…
Tiga Lelaki Maut, Lori Ayam Rempuh Treler di Tanah Merah
|
Perjalanan tiga lelaki membawa bekalan ayam dari Perak ke…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!