Selepas pengumuman oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang membenarkan rakyat Kelantan mendulang emas, ramai semakin teruja untuk mencuba nasib dalam aktiviti ini.
Tetapi kisah yang dikongsi 3 orang pendulang emas berpengalaman dari Gua Musang ini mungkin membuatkan anda untuk berfikir sekali lagi sebelum ke hutan dan sungai-sungai untuk mendulang emas.
Dikelilingi Sekumpulan Ular
Kerja mendulang emas ini bukan semudah yang disangka dan memerlukan kesabaran serta keberanian. Bukan semua orang mampu melakukannya. Tanpa pengetahuan yang cukup, usaha mencari emas mungkin tidak berhasil dan akhirnya pulang dengan tangan kosong.
Foto oleh Sinar Harian
Mengakui ada banyak pantang larang serta pengalaman pelik sepanjang mendulang emas, pendulang emas ini berkata, kerja ini bukan jalan singkat untuk kaya jika tidak bersabar.
Menurut Wan Nurul Firki Wan Abdullah, dia mula turun ke hutan mencari emas sejak umur 12 tahun, ketika mengikut ayahnya yang ketika itu menyara keluarga melalui hasil emas.
Pada usia 18 tahun, Firki pernah berdepan gangguan ketika mengayak emas. Ketika sedang menunggu hasil, dia dikejutkan dengan sekumpulan ular yang mengelilinginya di tepi sungai.
“Semasa mengayak, saya dah nampak emas sebesar biji jagung timbul dalam dulang. Pada masa sama, saya rasa kaki ditarik dan telinga ditiup sesuatu.
“Lepas tu muncul pula sekumpulan ular kecil mengelilingi saya, tapi saya tak kena patuk,” katanya kepada pemberita.
Firki berkata, ayahnya selalu berpesan supaya tidak mudah putus asa jika diganggu.
“Ayah pesan kalau ada gangguan, kita kena lawan. Kalau cepat putus asa, memang tak dapat emas. Sebab apa yang muncul tu biasanya penjaga kawasan.
“Saya dimaklumkan tempat yang ada emas memang ada penunggu termasuk jin dan ular,” katanya.
Katanya lagi, cara biasa untuk menghalau gangguan ialah dengan membaca surah Al-Fatihah, selawat, tiga Qul dan ayat Kursi.
“Kalau kita bertahan dan tak layan gangguan, hasil emas selalunya lebih banyak. Tapi kalau tak berani lawan, memang boleh balik tangan kosong.
“Sebelum mula mendulang, saya akan ambil wuduk dan niat baik-baik. Pantang larang pula, jangan banyak bercakap atau buat bising.
“Kalau jumpa emas pun, kena diam saja. Tak boleh cakap besar. Kadang kita gali luas tapi dapat sikit saja. Esoknya gali sikit di tempat sama, boleh dapat banyak. Itu namanya rezeki,” katanya.
Muncul Api di Atas Bukit
Pemilik sebuah syarikat perlombongan emas, Mohd Razali Ibrahim, pula berkongsi pengalaman melihat api di atas bukit ketika mendulang.
Katanya, api itu menyala kuat seolah-olah membakar bukit kira-kira 100 meter dari tempat mereka berada, namun kejadian itu tidak dapat dirakam.
“Saya nampak api atas bukit. Kawan nak rakam, tapi bila tekan rakam api hilang, bila berhenti rakam api muncul balik.
“Kejadian berlaku lebih kurang jam 9 malam. Api tu tak ganggu kami. Saya sendiri tak tahu apa maksudnya, mungkin orang lebih arif tahu,” katanya.
Menurutnya lagi, seperti kepercayaan orang lama, hutan memang ada makhluk lain dan manusia tidak boleh berbuat sesuatu yang tidak senonoh di kawasan tersebut.
“Orang dulu-dulu selalu minta izin dengan penunggu tempat tu. Tapi bagi saya, tak patut amalkan sebab makhluk tu juga ciptaan ALLAH.
“Kita tak nampak dia, tapi dia nampak kita. Jadi elakkan buat perkara tak elok seperti kencing merata dan buat bising,” katanya.
Jin Menjaga Kawasan Emas
Seorang penduduk dikenali sebagai Lan pula berkata, dia jarang mengalami gangguan kerana selalu ingat pesan orang tua.
Katanya, jika menemui banyak emas, perkataan ‘banyak’ tidak boleh disebut, sebaliknya diganti dengan ‘lebat’.
“Kalau dapat banyak, kita sebut lebat. Kalau dapat yang besar, kita guna perkataan kasar. Contohnya, ‘kasarnya barang di sini’.
“Kita tahu setiap kawasan yang ada emas mesti ada penunggu dan penunggu tu jin. Jadi jaga kelakuan dan jangan riak,” katanya.
Dia juga sudah lama tidak ke hutan kerana kekangan masa dan keluarga, namun tidak menolak untuk kembali apabila keadaan mengizinkan.
BACA: Kerajaan negeri benarkan rakyat Kelantan mendulang emas
BACA: Lelaki ini dedah kawasan lubuk emas di Kelantan untuk pendulang
BACA: Kelantan catat jumlah simpanan emas belum diteroka paling banyak di Malaysia
Sumber: Arkib Sinar Harian
