Dalam kekalutan banjir yang menenggelamkan laluan kampung, seorang bapa terpaksa meredah air sejauh tiga kilometer demi membawa pulang jenazah bayi perempuannya sebelum dikebumikan.
Mohd Hamzuri Mokhtar, 40, berkata dia terpaksa menghubungi rakannya yang memiliki pacuan empat roda selepas jalan ke rumahnya tidak boleh dilalui akibat air naik di Kampung Kacang Sebidang, Tumpat.
Bayi itu disahkan meninggal dalam kandungan pada Rabu lalu sebelum isterinya, Haslida Mohamad, 41, menjalani pembedahan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).
Bayi kemudian dikeluarkan awal pagi tadi selepas cubaan bersalin normal tidak berjaya.
“Saya membawa pulang jenazah bayi perempuan saya untuk dikebumikan. Disebabkan laluan ke rumah banjir, saya terpaksa meminta bantuan rakan yang ada pacuan empat roda untuk membawa kami dari Kampung Teluk Jering ke Kampung Kacang Sebidang,” katanya.
Hamzuri bersyukur kerana rumah mereka tidak dinaiki air dan Tanah Perkuburan Kacang Sebidang juga berada di kawasan tinggi, memudahkan urusan pengebumian.
Walaupun reda, dia mengakui kehilangan itu sangat berat untuk diterima kerana bayi berkenaan sepatutnya dilahirkan pada 3 Disember ini.
“Anak pertama saya juga meninggal dalam kandungan dan kini situasi sama berlaku kepada anak kelima. Saya mempunyai tiga anak iaitu dua lelaki dan seorang perempuan. Isteri masih menerima rawatan di HRPZ II,” katanya.
Sumber: Berita Harian
