Menteri Agama Teliti Tindakan Syariah Terhadap Selebriti Islam Berpakaian Mencolok Mata
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, memaklumkan pihaknya sedang meneliti kemungkinan untuk mengenakan tindakan jenayah syariah terhadap selebriti beragama Islam yang tampil dengan pakaian mencolok mata, lapor Berita Harian.
Menurut beliau, perkara itu masih dalam penelitian termasuk semakan semula garis panduan pemakaian selebriti Islam.
“Dari sudut tindakan, kita akan lihat dulu kalau ada pelanggaran mana-mana peraturan, enakmen atau jenayah syariah… tindakan jenayah syariah sedang kita teliti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Konvokesyen ke-18 Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP) di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MAIWP Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya; Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Profesional Baitulmal Sdn Bhd, Zuri Zabuddin Budiman dan Ketua Pegawai Eksekutif KPMAIWP, Prof Madya Dr Mohammad Firdaus Low Abdullah.
Isu pemakaian mencolok mata kembali hangat selepas penampilan kumpulan Dolla dalam video muzik terbaharu mereka, Question, mendapat perhatian ramai. Sebahagian masyarakat menilai gaya fesyen mereka sebagai terlalu seksi dan tidak sesuai untuk artis Muslim.
Pendakwah selebriti Asma' Harun juga tampil menegur secara terbuka, menyifatkan penampilan itu tidak bermoral dan memalukan wanita beragama Islam.
Mengulas lanjut, Mohd Na'im berkata beliau sudah meminta JAKIM dan Mufti Wilayah Persekutuan untuk menyemak semula garis panduan sedia ada berkaitan pemakaian selebriti Muslim.
“Saya ingat memang sudah ada garis panduan JAKIM, tapi tak salah kalau ia disemak balik.
“Saya akan minta Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, dan Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil, tengok semula garis panduan yang ada.”
Beliau berkata semakan itu dibuat susulan beberapa isu membabitkan penampilan selebriti wanita Melayu Islam yang memakai fesyen mencolok mata ketika membuat persembahan atau dalam karya seni.
Namun, menurutnya, garis panduan bukanlah segala-galanya.
“Lebih baik perubahan itu datang dari hati nurani kita sendiri,” katanya.
Mohd Na'im menegaskan selebriti sewajarnya lebih peka kerana mereka sering menjadi idola masyarakat, terutama golongan muda.
“Bila kita jadi ikutan, sebagai orang Islam kita kena pastikan setiap perbuatan beri pahala dan boleh bawa anak muda ke arah kebaikan.
“Harapan saya agar selebriti dapat tunjuk contoh terbaik, patuh peraturan sebagai orang Islam dan ikut adab kita di sebelah timur,” ujarnya.
Sumber: Berita Harian
