Sepuluh sekeluarga di Kampung Pantai Pulau Kundur melalui saat mencemaskan apabila kediaman mereka dihentam ombak besar setinggi lebih satu meter dalam kejadian air pasang besar malam tadi.
Menurut laporan Berita Harian, rumah mereka terletak hanya empat meter dari pantai itu bergegar tiga kali akibat impak ombak sekitar jam 10 malam.
Isa Hassan, 67, yang ditemui berkata seluruh keluarganya hanya mampu beristighfar dan berdoa agar rumah mereka tidak runtuh memandangkan itulah satu-satunya tempat mereka berteduh.
Beliau bersyukur kerana tiada kerosakan besar pada struktur rumah dan semua ahli keluarga selamat tanpa sebarang kecederaan.
Menurut Isa, sejak lebih seminggu lalu mereka tidak tidur lena kerana bimbang kejadian luar jangka, lebih-lebih lagi trauma tragedi 10 tahun lepas yang menyaksikan beberapa rumah penduduk kampung musnah ditelan ombak.
Beliau turut memaklumkan bahawa beliau membina sebuah pondok kecil di belakang rumah untuk memudahkannya memantau keadaan laut setiap jam.
“Kami tak boleh leka… ombak kadang-kadang datang tiba-tiba. Pondok tu memang untuk saya pantau setiap masa,” katanya.
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebelum ini sudah membina lapis lindung menggunakan bongkah batu konkrit bagi mengurangkan impak limpahan air laut.
Namun Isa tetap tidak mampu menghilangkan rasa bimbang, terutama dengan amaran air pasang besar yang masih berkuat kuasa.
“Batu tu boleh pecah kalau ombak besar sangat. Kami tetap berjaga-jaga,” katanya.
Sumber: Berita Harian
