HULU TERENGGANU – Seorang bilal maut selepas motosikal ditungganginya terbabas sebelum merempuh pembahagi jalan di Kilometer 29, Jalan Kuala Terengganu-Kuala Berang, berhampiran Kampung Bukit Perah, Ajil, awal pagi tadi, lapor Kosmo.
Mangsa, Samaruzaman Ismail, 66, yang dalam perjalanan ke Masjid Bukit Perah untuk mengazankan solat Subuh, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa anggota badan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintendan Sharudin Abdul Wahab berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.05 pagi ketika mangsa menunggang motosikal jenis Honda ADV160 dari rumahnya yang berhampiran.
“Setibanya di lokasi, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh pembahagi jalan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
#KelantanDaily
Sumber: Kosmo
