Seorang buruh meninggal dunia selepas dipercayai mengalami serangan jantung ketika melakukan kerja pemasangan tangki septik di Taman Permai Demit, Kubang Kerian pada Rabu.
Menurut laporan Sinar Harian, mangsa, Zakari Mat Jusoh, 48, dilaporkan rebah sebelum tidak sedarkan diri ketika berada di dalam lubang tangki septik sedalam kira-kira tiga meter.
Kejadian itu berlaku sekitar jam 5.20 petang.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Mohd Ridzuan Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.28 petang.
Sebuah jentera bersama enam anggota kemudian dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, mangsa didapati berada di dalam lubang dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Anggota bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung bagi membolehkan pemeriksaan dijalankan oleh pegawai perubatan,” katanya kepada pemberita.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Mohd Ridzuan berkata, berdasarkan maklumat awal daripada ahli keluarga, mangsa mempunyai sejarah penyakit jantung dan baharu sahaja keluar dari hospital sebelum kejadian.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) bagi proses selanjutnya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
