Polis sedang mengesan pemandu sebuah lori sejuk beku yang dipercayai memotong secara cuai sehingga memasuki laluan bertentangan dan mencetuskan kemalangan di Kuala Krai.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.26 pagi semalam di Kilometer 101, Jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Kampung Lela Jasa.
Menurut laporan Kosmo, kejadian itu menyebabkan dua penunggang motosikal terjatuh dan mengalami kecederaan ringan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Maizan Mustaffa berkata, siasatan awal mendapati seorang lelaki berusia 38 tahun sedang memandu kereta dari arah Kuala Krai menuju Gua Musang.
Pada masa sama, sebuah lori sejuk beku jenis Isuzu berada di laluan bertentangan.
“Ketika sampai di lokasi kejadian, lori tersebut dipercayai memasuki laluan kereta itu sebelum pemandunya terpaksa berhenti secara mengejut di bahu jalan.
“Keadaan itu menyebabkan bahagian sisi kiri kereta berkenaan dirempuh oleh dua buah motosikal yang berada di laluan sama,” katanya.
Pemandu Lori Dipercayai Memotong Secara Cuai
Maizan berkata, kedua-dua penunggang motosikal terjatuh akibat pelanggaran tersebut dan mengalami kecederaan ringan.
Siasatan lanjut mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pemandu lori memotong secara cuai sehingga memasuki laluan bertentangan.
“Keadaan itu memaksa pemandu kereta itu memberhentikan kenderaannya sebelum dirempuh dua buah motosikal.
“Pihak polis masih mengesan pemandu lori tersebut untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Terdahulu, rakaman kamera papan pemuka atau dashcam sebuah kereta tular di media sosial.
Rakaman itu memaparkan sebuah lori memotong kenderaan di laluan bertentangan sebelum memasuki laluan kereta tersebut.
Pemandu kereta berkenaan kemudian berhenti di bahu jalan sebelum bahagian sisi kenderaannya dirempuh dua motosikal, menyebabkan kedua-dua penunggang terjatuh.
Sumber: Kosmo
