Percutian seorang pelancong dari El Salvador berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas dilanggar sebuah kenderaan di Pasir Puteh pada malam Selasa.
Mangsa lelaki berusia 29 tahun itu sedang berjalan kaki di bahu jalan sebelum dilanggar di Kilometer 24.5 Jalan Persekutuan Melawi-Kuala Besut.
Menurut laporan Sinar Harian, polis menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut kira-kira pukul 9.44 malam.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Saari Yaacob berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang berjalan menghala ke Kuala Besut ketika kejadian.
Mangsa kemudian dilanggar sebuah kenderaan yang sehingga kini masih belum dapat dikenal pasti.
“Usaha mengesan kenderaan terlibat sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Mangsa dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelanggaran tersebut.
Mayatnya kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk proses bedah siasat.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau talian 013-987 2579.
Sumber: Sinar Harian
