KUALA LUMPUR – Subsidi bersasar bagi petrol RON95 dijangka dilaksanakan pada penghujung September ini, selaras dengan janji Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelaksanaan itu membuktikan komitmen Perdana Menteri untuk menunaikan janji yang pernah diumumkan kepada rakyat.
Menurutnya, walaupun proses pelaksanaan mengambil masa, kerajaan tetap memastikan janji tersebut ditunaikan demi kebajikan rakyat.
“Kerajaan MADANI sentiasa komited membantu rakyat, menjaga kebajikan semua golongan dan memakmurkan ekonomi negara dengan penuh integriti,” katanya menerusi hantaran di Facebook, Jumaat.
Saifuddin turut menasihatkan orang ramai supaya memeriksa dan menggantikan cip MyKad yang rosak sebelum subsidi bersasar RON95 bermula.
Katanya, pengesahan identiti menggunakan MyKad diperlukan ketika mengisi minyak di stesen.
“Harga petrol RON95 akan turun ke RM1.99 seliter melalui subsidi bersasar ini. Perkara utama rakyat perlu buat ialah pastikan cip MyKad berfungsi.
“Kalau rosak atau tidak boleh dibaca, pergi sahaja ke kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) seluruh negara. Insya-Allah boleh siap pada hari yang sama.
“Jangan tunggu saat akhir, semak awal supaya dapat manfaat daripada subsidi khas ini,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri menegaskan harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter menjelang akhir bulan ini, seiring dengan janji Kerajaan MADANI untuk mengurangkan beban rakyat.
Beliau menambah, langkah itu juga selaras dengan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat menikmati harga bahan api yang lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.
#KelantanDaily
Sumber: Sinar Harian, Berita Harian
