Usaha Kerajaan Kelantan untuk memperketat syarat lesen premis perniagaan kini memasuki fasa baharu apabila semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu diarahkan melaksanakan syarat pelesenan yang lebih ketat, berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah, langkah tersebut dilaksanakan menerusi Pekeliling Pembangunan Bilangan 2 Tahun 2026 bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dibenarkan menguruskan premis perniagaan.
Kenapa Langkah Ini Diambil?
Menurut beliau, tindakan itu dibuat susulan peningkatan pembabitan warga asing dalam sektor perniagaan runcit, makanan dan perkhidmatan yang didakwa menimbulkan beberapa isu.
Antara isu yang dikenal pasti termasuk penggunaan lesen perniagaan tempatan oleh warga asing, persaingan tidak sihat dengan peniaga tempatan, ketirisan hasil cukai serta pelanggaran syarat imigresen dan peraturan perniagaan.
Tiga Syarat Baharu Yang Perlu Dipatuhi
Di bawah syarat baharu itu, pemohon lesen baharu yang berkahwin perlu mengemukakan maklumat pasangan berserta dokumen perkahwinan.
Selain itu, hanya pemegang lesen atau penama yang merupakan warganegara Malaysia dibenarkan menguruskan premis perniagaan, manakala maklumat lengkap pekerja asing pula wajib dipamerkan di premis.
Hilmi turut menggesa semua pemegang lesen dan pengusaha premis supaya meneliti syarat baharu berkenaan serta memastikan premis masing-masing mematuhinya.
Beliau berkata, mana-mana pengusaha yang gagal mematuhi syarat lesen baharu boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk kompaun, penggantungan lesen atau pembatalan lesen mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Sumber: Berita Harian
