Seorang wanita mengalami kecederaan parah selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika cuba mencuri kabel di bilik pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, petang semalam.
Dalam kejadian itu, mangsa yang identitinya masih belum dikenal pasti melecur kira-kira 70 peratus pada badan sebelum dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika wanita terbabit cuba mencuri kabel di bilik pencawang berkenaan.
Menurut beliau, mangsa kini berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di hospital.
"Mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital dan keadaannya dilaporkan kritikal selepas mengalami kecederaan melecur kira-kira 70 peratus pada badan serta ditidurkan," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti mangsa dan mendapatkan maklumat lengkap berhubung kejadian tersebut.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
