Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew tampil mempersoalkan notis berkaitan manfaat kepada mualaf di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang tular di media sosial baru-baru ini, lapor Malaysia Post.
Beliau menyifatkan perkara itu sebagai tidak seimbang apabila penganut agama lain tidak dibenarkan menyebarkan agama mereka kepada umat Islam seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang negara.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Ronnie turut membangkitkan isu kebebasan beragama dan sekatan terhadap individu yang ingin keluar daripada agama Islam.
Isu Bermula Selepas Poster Tular
Sebelum ini, Senator DAP, RA Lingeshwaran turut membangkitkan isu sama dengan menyatakan penyebaran ajaran Islam perlu dilakukan secara beretika dan berhemah tanpa melibatkan institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menurut beliau, walaupun Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama termasuk hak menyebarkan ajaran Islam, institusi pendidikan awam perlu kekal neutral dan inklusif untuk semua rakyat Malaysia.
Beliau berkata, IPTA tidak sepatutnya dijadikan platform untuk menggalakkan penukaran agama sama ada secara langsung atau melalui pemberian insentif, keistimewaan atau galakan tertentu.
UPSI Jelaskan Poster Tidak Diluluskan
Pada 15 Jun lalu, UPSI tampil memberi penjelasan berhubung poster yang tular itu.
Universiti berkenaan memaklumkan poster tersebut tidak mendapat kelulusan pentadbiran UPSI dan tidak disebarkan melalui saluran rasmi universiti.
Poster yang menjadi perhatian ramai itu menyenaraikan beberapa manfaat yang dikatakan boleh diperoleh mahasiswa UPSI yang mendaftar sebagai saudara baharu Islam.
Dakwa Boleh Jejas Hubungan Keluarga
Mengulas lanjut, Ronnie mendakwa perkara berkenaan berpotensi menjejaskan hubungan antara pelajar yang memeluk Islam dengan ahli keluarga serta rakan-rakan bukan Islam.
Beliau turut berpandangan bahawa polisi berkaitan penyebaran agama di universiti perlu diberi perhatian lebih serius.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa golongan minoriti tidak menentang penukaran agama yang dilakukan secara sukarela oleh individu dewasa yang membuat keputusan berdasarkan maklumat yang jelas.
Sebaliknya, katanya, kebimbangan timbul sekiranya proses tersebut melibatkan unsur kerahsiaan, paksaan, bawah umur atau dipengaruhi insentif tertentu.
Sumber: Malaysia Post
SHARE:
