Seorang warga emas berusia 79 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada Khamis atas lima pertuduhan merogol serta melakukan amang seksual terhadap cucu perempuannya berusia 12 tahun di Bachok, antara Januari hingga awal Jun tahun ini.
Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan pertama, ketiga, keempat dan kelima, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 12 tahun tanpa kerelaannya.
Perbuatan itu berlaku di bilik tidur di rumah di Kampung Panchor Gunong Timor, Bachok antara jam 8.28 pagi hingga 1.30 tengah hari pada 11 Januari sehingga 4 Jun 2026.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(2)(d) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 376(2) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan hubungan seks dengan memasukkan sebiji terung ke dalam kemaluan mangsa yang sama tanpa kerelaannya di lokasi yang sama jam 1.30 tengah hari pada 11 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan Akta 574 yang memperuntukkan penjara sehingga 30 tahun dan juga sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syafiqah Mohamad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh selepas mengambil kira faktor keselamatan mangsa yang masih di bawah umur.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 Julai ini bagi serahan dokumen.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
