Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Mohd Khairuddin Aman Razali membidas senator DAP, RA Lingeshwaran yang menggesa siasatan dijalankan terhadap Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) susulan penularan poster berkaitan mahasiswa mualaf di institusi berkenaan.
Khairuddin berkata, Lingeshwaran sepatutnya memahami kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dan hak untuk menyebarkan agama Islam di negara ini.
Menurut beliau, Malaysia merupakan sebuah negara Islam dan dakwah boleh dilaksanakan termasuk di institusi pengajian tinggi.
Bidas Gesaan Siasatan
"Pemimpin DAP bukan Islam ini sedar ke tak sedar diri ni. Kamu rakyat Malaysia, sebuah negara Islam.
"Islam boleh disebar dan dikembangkan di mana-mana dalam negara ini menurut perlembagaan termasuk di Pusat Pengajian Tinggi seperti UPSI," katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dibuat sebagai reaksi terhadap gesaan Lingeshwaran yang meminta siasatan dijalankan berhubung poster yang tular di media sosial.
Poster Tawar Bantuan Kepada Mualaf
Poster berkenaan memaparkan logo UPSI, Pusat Islam universiti, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni serta lambang Malaysia MADANI.
Antara kandungan poster tersebut ialah tawaran yuran pengajian percuma kepada mahasiswa yang memeluk Islam, bantuan kewangan kepada mualaf serta sesi perkongsian pengalaman bersama saudara baharu.
Poster itu turut mempromosikan kelas bimbingan Islam yang dibuka kepada mahasiswa bukan Islam yang berminat untuk mempelajari agama tersebut.
UPSI Nafi Poster Diluluskan
Bagaimanapun, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI sebelum ini menjelaskan bahawa poster tersebut tidak pernah dikemukakan untuk semakan atau kelulusan pihak pengurusan universiti.
Menurut notis yang dikeluarkan, poster berkenaan diedarkan di luar saluran rasmi universiti dan tindakan susulan sedang diambil bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Walaupun mengambil maklum penjelasan itu, Lingeshwaran berpendapat penafian pihak universiti sahaja tidak mencukupi kerana isu tersebut dianggap sensitif dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Ingatkan Kedudukan Islam Dalam Perlembagaan
Sementara itu, Khairuddin turut mengingatkan bahawa penyebaran agama Islam kepada penganut agama lain dibenarkan di Malaysia, manakala agama lain tidak boleh disebarkan kepada umat Islam.
Beliau turut menggesa pihak pengurusan universiti supaya tidak bersikap apologetik dalam isu berkaitan dakwah dan pengembangan Islam.
Katanya, aktiviti berkaitan dakwah dan pendidikan Islam yang mematuhi peruntukan undang-undang negara tidak seharusnya menjadi polemik yang menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Sumber: Malaysiakini
SHARE:
