PAS menjangkakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan berlangsung antara Oktober hingga November tahun ini berdasarkan perkembangan politik semasa serta beberapa petunjuk yang dilihat semakin jelas.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, parti itu kini mengarahkan seluruh jentera di semua peringkat supaya memperkemaskan gerak kerja bagi menghadapi kemungkinan pembubaran Parlimen dalam tempoh terdekat.
Menurut beliau, beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung termasuk di Johor dan Negeri Sembilan, selain kemungkinan Melaka, dilihat sebagai antara petanda bahawa PRU16 semakin hampir.
PAS Jangka PRU Tahun Ini
"Tahun ini dijangkakan berlaku PRU16. Dalam masa terdekat akan berlangsung PRN Johor dan Negeri Sembilan, selepas itu mungkin Melaka.
"Berkemungkinan selepas PRN Melaka, Parlimen akan dibubarkan kerana banyak tanda-tanda dan desas-desus mengatakan PRU tahun ini, cuma masih berteka-teki dari segi bulan atau tarikhnya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Pengkalan Chepa Kali Ke-54 yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Oktober Atau November Dilihat Lebih Berkemungkinan
Mohd Amar yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan berkata, walaupun terdapat spekulasi bahawa Parlimen mungkin dibubarkan seawal Julai, pandangan yang lebih kuat ketika ini menjurus kepada penghujung Oktober atau November.
"Ada yang menjangka Julai selepas Perdana Menteri pulang daripada lawatan luar negara, namun pandangan lebih kuat ialah pada penghujung Oktober dan November.
"Bagaimanapun, apa yang penting ialah kita perlu meningkatkan komitmen dan iltizam serta memperkemaskan kedudukan parti bagi menghadapi kemungkinan PRU," katanya.
Jangan Pandang Ringan Pengundi Muda
Dalam pada itu, beliau mengingatkan jentera parti supaya tidak mengamalkan budaya kerja saat akhir kerana landskap politik semasa semakin mencabar, khususnya dalam usaha menarik sokongan pengundi muda.
Menurutnya, corak pemikiran generasi muda hari ini berbeza dan sukar diramalkan berbanding pengundi tradisional.
"Kita tidak boleh menjangka atau membaca fikiran pengundi, terutama golongan muda kerana corak pemikiran mereka berbeza.
"Saya juga mengingatkan jentera supaya tidak memandang rendah kewujudan parti-parti baharu kerana pendekatan yang digunakan mampu menarik perhatian pengundi muda," katanya.
Beliau menegaskan bahawa persediaan awal dan gerak kerja yang tersusun penting bagi memastikan parti berada dalam keadaan terbaik sekiranya Parlimen dibubarkan pada tahun ini.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
