Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat pada Isnin atas dua pertuduhan membabitkan perbuatan tidak senonoh dan kelucahan melampau terhadap ibu kandungnya.
Pengakuan itu dibuat sebaik kedua-dua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Berdepan Dua Pertuduhan
Mengikut pertuduhan pertama, remaja itu didakwa mengaibkan kehormatan ibunya yang berusia 43 tahun dengan menyuruh wanita tersebut melakukan perbuatan tidak senonoh terhadapnya.
Kesalahan itu didakwa berlaku di sebuah rumah dalam daerah Batu Pahat pada jam 5 petang, 1 Jun lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kelucahan melampau terhadap ibunya pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Ibu Buat Laporan Polis
Berdasarkan fakta kes, kejadian dipercayai berlaku selepas tertuduh menonton video lucah di dalam biliknya sehingga menyebabkan dia terangsang.
Remaja itu kemudian pergi ke bilik air dan mengetuk pintu ketika ibunya sedang mandi sebelum meminta wanita tersebut membuka pintu.
Sebaik pintu dibuka, mangsa mendapati tertuduh telah menanggalkan seluarnya sehingga menampakkan kemaluan dan meminta sesuatu yang tidak wajar.
Terkejut dengan tindakan anaknya itu, wanita berkenaan terus masuk semula ke bilik air dan mengunci pintu dari dalam sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Tunggu Laporan Akhlak JKM
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian menetapkan 19 Ogos depan bagi perbentangan laporan akhlak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta kes dan keputusan hukuman.
Tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,500, namun gagal membayar jumlah tersebut dan dihantar ke Pusat Koreksional Muar bagi menjalani tahanan sementara.
Sumber: Berita Harian
SHARE:
