Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangnya terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira 10 meter dalam kejadian di Puncak Gerik, Jalan Raya Timur Barat (JRTB), pagi tadi.
Mangsa, Amir Afiq Adnan, 26, yang beralamat di Bachok, Kelantan, menunggang motosikal jenis Kawasaki Z250 sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.09 pagi.
Menurut beliau, mangsa dipercayai terbabas sendiri sebelum jatuh ke dalam gaung berkenaan.
Ketua operasi kemudian melakukan penilaian awal di lokasi sebelum mengaplikasikan konsep SAVER bagi kerja-kerja menyelamat.
Mangsa berjaya dibawa naik ke atas jalan menggunakan pengusung melalui laluan longkang bertingkat di lebuh raya tersebut.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik itu tamat sepenuhnya pada jam 11.58 pagi.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
