“Saya Pegang Badan Anak, Rupanya Kepala Dah Terputus…” – Bapa Sebak Cerita Detik Tragis

eorang bapa tidak mampu menahan sebak apabila menceritakan detik paling memilukan dalam hidupnya, selepas menyaksikan anak sulungnya maut dalam kemalangan ngeri di Jalan Losong Feri, Kuala Terengganu pada Selasa.

Mangsa, Wah Han Keong, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian leher selepas van dinaiki bersama bapanya dirempuh sebuah kereta jenis Volkswagen Golf GTI.

Bapanya, Wah Tee Tun, 49, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 3.36 petang, mereka dalam perjalanan ke bandar untuk melakukan kerja-kerja pendawaian.

Namun, suasana bertukar tragedi apabila sebuah kereta dari arah bertentangan dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan, melanggar pembahagi jalan dan merempuh van mereka.

Menurut Tee Tun, impak rempuhan yang kuat menyebabkan sebatang tiang lampu patah sebelum melayang dan menembusi van mereka, lalu terkena tepat pada leher anaknya.


“Saya cuba panggil dan menggerakkan badan anak saya, tetapi saya dapati kepalanya sudah terputus dan berada di bawah kaki.

“Kesan rempuhan itu agak kuat menyebabkan sebatang tiang lampu patah dan melayang menjunam ke arah van kami lalu terkena tepat pada leher anak saya. Badannya tidak mengalami kecederaan lain,” katanya ketika ditemui di rumah upacara pengebumian di Jalan Syed Zain, pada Rabu.

Dalam kejadian itu, tiang Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dilanggar turut tumbang dan tertembus ke dalam van sehingga mengenai penumpang hadapan, manakala dua lagi individu dilaporkan mengalami cedera ringan.

Menunggu Keputusan UPU, Hasrat Sambung Belajar Tak Kesampaian

Tee Tun berkata, anaknya yang merupakan anak sulung daripada dua beradik difahamkan sedang menunggu keputusan permohonan menyambung pengajian dalam bidang automotif menerusi Unit Pusat Universiti (UPU).

“Keputusan UPU sepatutnya keluar dalam sehari dua lagi iaitu pada 22 Mei ini. Segala persiapan telah kami lakukan, namun kami reda perancangan untuk melihatnya menyambung pengajian tidak kesampaian,” katanya.

Menurutnya, mendiang meminati bidang automotif dan pernah memohon untuk melanjutkan pengajian di Politeknik Dungun atau institusi sama di Kota Bharu, Kelantan.

Rajin, Jujur Dan Tak Pernah Membantah

Tee Tun yang menetap di Banggol Peradong, Manir menyifatkan anaknya sebagai seorang yang rajin, jujur dan sentiasa membantu keluarga selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Dia tidak pernah membantah. Walaupun kadang-kadang saya berkasar atau memarahinya ketika bekerja, dia hanya tersenyum. Mendiang juga sangat rapat dan manja dengan ibunya,” katanya.

Tambahnya, keluarga bercadang mengambil tindakan undang-undang melalui peguam kerana kejadian itu bukan berpunca daripada mereka dan turut mempunyai rakaman video insiden tersebut.

Jenazah mendiang dijadualkan dibawa pulang ke Kelantan pada Khamis untuk urusan pengebumian.


Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

Lebih 200 Individu Lombong Emas Secara Haram, Purata Dapat 10 Gram Sehari
|
Lebih 200 individu dipercayai terbabit dalam kegiatan perlombongan emas…
5 Beradik Yatim Piatu Dijaga Datuk Dan Nenek, Individu Tampil Perbetulkan Fakta
|
Aktivis kebajikan, Tengku Harith tampil membuat penjelasan berhubung kisah…
Kelantan Bakal Cipta Sejarah Malam Esok
|
Kelantan Red Warrior FC bakal mencipta sejarah malam esok…
Presiden PAS Dakwa Nik Zawawi Mungkin Terpengaruh Penulisan Sejarah
|
Presiden PAS, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang…
Ustaz Mad Kecik Selamat Bernikah Dengan Pelajar Madrasah
|
Pendakwah terkenal, Muhammad Abdullah atau lebih dikenali sebagai Ustaz…
Lima Beradik Yatim Piatu Di Pasir Puteh Ikat Perut, Makan Telur Rebus Sekali Sehari
|
Lima beradik di Kampung Chengal Batu, Pasir Puteh kini…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!