Kumpulan pertama jemaah haji Malaysia bagi musim 1447H/2026 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Abdulaziz, Madinah pada jam 8.21 pagi waktu tempatan hari ini.
Kesemua 284 jemaah itu menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 4.09 pagi waktu Malaysia sebelum tiba di Hotel Emaar Royal, Madinah pada jam 9.45 pagi waktu tempatan.
Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan hari ini memaklumkan ketibaan rombongan disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Mohamad Bakri Syed Abdul Rahman, Timbalan Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Ridzuan Wahi, Konsul Haji Malaysia di Jeddah Radin Adi Hilmi, barisan pengurusan kanan serta petugas TH.
Syed Mohamad Bakri berkata, segala persiapan telah dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan jemaah dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada ibadah sepanjang berada di Tanah Suci.
“Mewakili Kerajaan Malaysia dan TH, saya ingin merakamkan rasa syukur atas ketibaan kumpulan pertama jemaah haji Malaysia di Madinah. Ini hasil perancangan rapi, kerjasama erat dengan pihak berkuasa Arab Saudi serta komitmen berterusan TH dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan jemaah sentiasa menjadi keutamaan.
“Saya juga melihat petugas TH komited memastikan setiap jemaah bukan sahaja selesa dari segi kebajikan, malah dibimbing untuk mencapai haji yang mabrur, insya-Allah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jemaah supaya sentiasa menjaga kesihatan, memperbanyakkan ibadah serta mematuhi panduan dan arahan yang ditetapkan sepanjang berada di Tanah Suci.
Sepanjang enam hari di Madinah, para jemaah akan mengikuti program yang telah diatur termasuk ziarah ke Masjid Nabawi, Makam Rasulullah SAW, Raudhah serta lokasi-lokasi bersejarah di sekitar Madinah.
Dalam pada itu, TH memaklumkan terdapat dua lagi penerbangan kumpulan jemaah haji akan tiba di Madinah hari ini iaitu 284 jemaah dijangka tiba pada jam 2.10 petang dan 357 jemaah pada jam 9.10 malam waktu tempatan.
Operasi Haji 1447H/2026 yang bermula secara rasmi hari ini akan membawa seramai 31,600 jemaah haji Malaysia secara berperingkat ke Madinah dan Makkah menerusi 100 penerbangan sewa khas oleh AMAL by Malaysia Airlines dan Saudia Airlines.
Sumber: Bernama
SHARE:
