Seorang lelaki yang mempunyai lebih 10 rekod jenayah ditembak polis selepas dipercayai cuba menyerang anggota polis menggunakan parang di hadapan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Machang, lewat malam tadi.
Dalam kejadian itu, suspek berusia lingkungan 30-an cedera di paha kanan dan kini menerima rawatan di Hospital Machang.
Dikesan Berhenti Di Mesin ATM
Menurut sumber, kejadian bermula apabila sepasukan polis peronda mengesan dua lelaki menaiki motosikal berhenti di sebuah mesin ATM di hadapan UiTM Machang kira-kira jam 10.45 malam.
Difahamkan, pembonceng motosikal kemudian pergi ke bank dan apabila anggota polis menghampirinya untuk pemeriksaan, suspek didakwa enggan memberi kerjasama.
Suspek Keluarkan Parang, Polis Lepas Tembakan Amaran
“Suspek tiba-tiba mengeluarkan parang daripada begnya dan cuba menyerang anggota.
“Bagi mempertahankan diri, seorang anggota melepaskan tembakan amaran ke udara, namun suspek tetap berdegil.
“Keadaan itu memaksa polis melepaskan tembakan ke arah suspek dan mengenai pahanya,” kata sumber.
Suspek kemudian cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam longkang berhampiran, namun berjaya ditahan tidak lama kemudian sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
Pernah Ada Rekod Dadah, Disyaki Terlibat Rompakan
Sumber turut memaklumkan suspek mempunyai lebih 10 rekod jenayah lampau termasuk kes berkaitan dadah.
Malah, suspek juga dipercayai terbabit dalam kes rompakan di sebuah premis 7-Eleven di Machang ketika hari raya.
Sementara itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian tersebut dalam masa terdekat.
BERKAITAN: Agresif, Libas Polis Guna Parang, KP Kelantan Keluar Kenyataan Isu Suspek Ditembak
Sumber: Berita Harian
SHARE:
