Rumah Bocor, Lantai Reput, Sebuah Keluarga Di Pantai Kundur Hidup Serba Kekurangan

Memiliki rumah sendiri yang selesa pastinya menjadi impian setiap ibu bapa. Namun bagi pasangan di Kampung Pantai Kundur, mereka hanya mampu bersyukur dengan rumah kecil tanpa bilik yang sempurna untuk berteduh.

Zainurdin Ismail, 49, berkata kediaman yang didiami terletak kurang dua meter dari laut. Setiap kali angin kencang dan ombak besar melanda, perasaan bimbang terhadap keselamatan keluarga terutama anak-anak kecil tidak pernah hilang.

Menurutnya, setiap kali hujan, banyak bahagian bumbung rumah bocor. Apabila angin kuat pula, mereka menjadi semakin takut kerana kedudukan rumah yang betul-betul di tepi laut.

Malah katanya, pernah berlaku ombak besar melepasi benteng sehingga menghentam dinding rumah.

“Kebimbangan saya terhadap situasi ini berasas kerana masih trauma dengan kejadian 10 tahun lalu yang menyebabkan beberapa rumah penduduk kampung musnah ‘ditelan’ ombak.

“Malah keadaan lantai rumah yang didiami juga sudah reput selain tidak mempunyai bilik yang sempurna dan saya terpaksa menggunakan kayu terbuang untuk membina ruang kecil bagi anak-anak tidur.

“Disebabkan kedaifan hidup, kami sekeluarga tetap mendiami rumah pusaka milik ibu mentua kerana tiada pilihan lain serta tidak mempunyai mampu menyewa,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Pertubuhan Prihatin Anak Kelantan, Mohamad Ezzat Zahrim Mohd Hanuzi hadir menyantuni keluarga berkenaan dan menyampaikan sumbangan keperluan asas seperti tilam, tikar serta bantal dalam Program Ihya Ramadan.

Turut hadir menyampaikan bantuan ialah Pengarah Komunikasi dan Multimedia Alkhatiri Group, Muhammad Atiq Fitri Mustafa Apipi yang menyampaikan juadah sahur, serta Pengarah Urusan Pengedar Bahagian Proton, Mohd Khairul Hakimi Mohd Nawi yang menyerahkan bakul barangan keperluan asas.

Zainurdin yang mempunyai anak berusia antara tiga bulan hingga 13 tahun berkata, dia menghidap penyakit gout dan hanya mampu melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan sekitar RM700 hingga RM800 sebulan.

Katanya, pendapatan itu sekadar cukup untuk membeli makanan mengikut kemampuan.

Bagi menambah pendapatan, isterinya, Suhaiza Mat Zain, 39, mengambil upah mencanting batik dengan memperoleh sekitar RM20 hingga RM30 sehari bergantung kepada jumlah kerja yang dilakukan.

Zainurdin berharap ada pihak sudi membantu membaik pulih kediaman kecil itu agar lebih selesa dan selamat untuk didiami.

“Pendapatan yang tidak menentu menyukarkan saya melakukan kerja-kerja pembaikan rumah dan hanya mampu buat tampalan sementara,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Ezzat Zahrim berkata beliau akan berusaha sedaya-upaya untuk membantu meringankan beban keluarga berkenaan.

Beliau turut menyeru NGO agar terus menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau latar belakang.


Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Zainurdin Ismail di talian 011-19923112.

Sumber: Harian Metro

SHARE:

TERKINI

Ibu Tunggal Masalah Mental, Sakit Jantung Tabah Jaga Lima Anak OKU Di Pasir Puteh
|
Seorang ibu tunggal yang menghidap penyakit jantung berlubang serta…
Penganggur Serang Polis Mengaku Bersalah Miliki Parang Depan Pintu UiTM Machang
|
Seorang penganggur mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu…
[VIDEO] “Jika Diberi Peluang Saya Pun Nak Lepak Disana” – ADUN Melor
|
Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan semalam sedikit hangat…
Kelantan Rancang Tambah Lokasi Riadah, Aktiviti Permotoran Untuk Bendung ‘Mat Rempit’
|
Kerajaan Negeri Kelantan merancang menyediakan lebih banyak lokasi riadah…
Kelantan Umum Pakej Rangsangan Ekonomi RM2 Juta Kepada Rakyat
|
Kerajaan negeri Kelantan semalam mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat…
Buruh Ladang Proses Air Ketum Dalam Hutan Sejak 2 Tahun
|
Demi mengaut keuntungan RM30 seliter, seorang buruh ladang sanggup…
Jawatan Kosong Kelantan