Ibu Enam Anak Tidak Kekok Jadi Mekanik, Pakar Kotak Gear Automatik

Bermula sekadar mahu membantu suami di rumah, seorang ibu kepada enam anak kini semakin dikenali di Besut sebagai mekanik wanita yang mahir membaiki kotak gear automatik.

Zainab Salim, 45, dari Kampung Gerai, tidak kekok memilih bidang automotif yang lazimnya didominasi lelaki sebagai kerjaya tetapnya.

Menurutnya, pada awalnya beliau hanya memerhati suaminya, Zahari Mohd Zin, 59, membaiki kenderaan sebelum mula membantu melakukan kerja-kerja tersebut di rumah.

“Pada mulanya saya hanya memerhati suami bekerja membaiki kenderaan sebelum saya mula membantu beliau melakukan kerja-kerja tersebut di rumah.

“Selepas itu, minat untuk membaiki kenderaan semakin tinggi apabila saya berjaya membaiki sendiri komponen enjin kenderaan yang rosak,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Alor Saji.

Zainab berkata beliau bermula dengan membaiki enjin petrol dan diesel sebelum menguasai kemahiran membaiki kotak gear transmisi manual dan seterusnya transmisi automatik.

Katanya, pada waktu itu hanya beliau yang mahir membaiki komponen kotak gear transmisi automatik di sekitar Besut. Kebanyakan pemilik kenderaan biasanya terus menukar keseluruhan kotak gear jika rosak, sama ada baharu atau terpakai.

Namun, beliau memilih untuk membaiki bahagian yang rosak tanpa perlu menukar keseluruhan komponen, sekali gus membantu menjimatkan kos pelanggan dan memastikan ketahanan kotak gear lebih terjamin. Kini, beliau menumpukan sepenuh masa kepada kerja membaiki kotak gear automatik.

Sejak empat tahun lalu, Zainab menguruskan bengkel bersendirian selepas suaminya diserang strok dan mengalami masalah saraf sehingga hilang penglihatan.

Beliau bagaimanapun bersyukur kerana anak keduanya, Muhammad Azani, 19, sering membantu terutama dalam kerja berat seperti memasang atau menurunkan kotak gear kenderaan pacuan empat roda.

Anak sulungnya, Muhammad Hakimie, 21, juga mempunyai kemahiran membaiki kereta tetapi tidak bekerja dalam bidang automotif buat masa ini.

Kemahirannya turut mendapat perhatian apabila beliau pernah dijemput oleh sebuah pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di daerah itu untuk memberi tunjuk ajar kepada pelajar jurusan automotif.

Bagaimanapun, beliau mengakui tetap berdepan cabaran termasuk pelanggan yang tidak membayar upah dan mengelak melangsaikan hutang.

Sebelum menceburi bidang automotif sepenuh masa, Zainab pernah bekerja sebagai kerani di sebuah agensi kerajaan di Besut.


Kini, selain bergantung kepada kemahiran membaiki kotak gear automatik untuk menyara keluarga, beliau turut menjadikan senaman sebagai rutin harian agar kekal sihat demi membesarkan empat lagi anak yang masih bersekolah.

Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

“Hedonisme Melampau Bukan Budaya Malaysia” – Exco Kelantan Kritik Pesta Air Bukit Bintang
|
Isu penganjuran Pesta Air Bukit Bintang yang didakwa mencetuskan…
Cemburu Dipercayai Punca Pelajar Kolej Ditikam 61 Kali Di Ketereh, Polis Sifatkan Kes Selesai
|
Motif cemburu dipercayai menjadi punca pembunuhan seorang pelajar kolej…
Belalang Kerek Bukan Sekadar Hobi, Main Peranan Dalam Ekosistem
|
Fenomena memelihara dan mempertandingkan serangga eksotik dikenali sebagai “belalang…
Gadis Ditikam 61 Kali Keluar Makan Dengan 2 Suspek, Muat Naik Status WhatsApp Jam 11 Malam
|
Kes pembunuhan penuntut kolej wanita yang ditemukan mati dengan…
“Baru Sabtu Lepas Kami Hantar Dia…” Abang Mangsa 61 Tikaman Luah Sebak
|
“Baru Sabtu minggu lalu kami hantar adik menyambung semester…
Kes Pelajar Wanita Ditikam 61 Kali Di Ketereh: Dua Suspek 19 Tahun Ditahan Polis
|
Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes kematian…
Jawatan Kosong Kelantan