Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, mengesahkan berlaku pertemuan dengan pemimpin PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhubung usaha penyatuan orang Melayu menerusi gagasan kolaborasi agung.
Menurut beliau, pertemuan yang disifatkan berlaku secara tidak langsung itu turut melibatkan beberapa parti politik Melayu lain.
Katanya, UMNO sebagai parti politik Melayu-Islam terbesar mengambil inisiatif ke hadapan dengan mengajak parti-parti lain bersama-sama mengambil langkah proaktif dan strategik bagi menggabungkan seluruh tenaga serta pemikiran menerusi muzakarah atau perbincangan bersama.
“UMNO sebagai parti politik Melayu-Islam terbesar, kita mengambil langkah ke hadapan untuk mengajak parti lain bersama-sama mengambil langkah proaktif dan strategik bagi menggabungkan seluruh tenaga dan pemikiran dengan parti politik ini untuk mengadakan muzakarah atau perbincangan.
“Ini kerana saranan telah diberikan namun tidak ada satu saranan konkrit ke mana-mana persidangan atau perhimpunan tahunan parti politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Sabtu.
Terdahulu, Ahmad Zahid ketika menggulung ucapan dasar memaklumkan hasrat UMNO untuk menyatukan seluruh parti Melayu dan Islam di bawah satu gabungan yang dikenali sebagai kolaborasi agung.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
