Kerajaan Negeri Kelantan menzahirkan rasa simpati dan keprihatinan kepada semua mangsa yang terlibat dalam kejadian runtuhan titi gantung di Lata Rek, Kuala Krai, yang berlaku semalam dan mengakibatkan kecederaan kepada beberapa orang awam serta menjejaskan akses harian penduduk setempat.
Menteri Besar Kelantan, Mohd Nassuruddin Haji Daud, dalam satu kenyataan, berkata sejurus kejadian, Ahli Dewan Negeri Manek Urai dan Ahli Parlimen Kuala Krai telah mengambil tindakan segera dengan turun padang serta menggerakkan bantuan awal bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan terlibat.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengumuman serta arahan supaya penggantian titi gantung berkenaan dilaksanakan dengan kadar segera demi keselamatan dan kemudahan rakyat.
BERKAITAN: PM Arah Titi Gantung Runtuh Di Kuala Krai Segera Diganti
Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Kelantan telah mengarahkan Pejabat Tanah dan Jajahan Kuala Krai untuk menyelaras segala urusan berkaitan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri serta agensi-agensi berkaitan bagi memastikan kerja-kerja penggantian jambatan dapat disegerakan dan dilaksanakan secara teratur.
BERKAITAN: Kenduri Kahwin Bertukar Cemas, Titi Gantung Runtuh, 50 Tetamu Terjatuh Ke Sungai Di Kuala Krai
Kerajaan negeri juga menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjamin kebajikan rakyat serta memastikan kemudahan awam yang selamat dan berfungsi dapat disediakan sebaiknya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan mendoakan agar semua mangsa yang terlibat diberikan kesembuhan dan dipermudahkan segala urusan, selain berharap penyelesaian dapat dilaksanakan dengan pantas melalui kerjasama erat semua pihak.
