Esok penentu Najib balik rumah atau terus di penjara

Esok bakal menjadi detik penting buat Najib Razak, apabila Mahkamah Tinggi dijadualkan memutuskan sama ada beliau dibenarkan menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah atau terus kekal di Penjara Kajang.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Alice Loke, akan menyampaikan keputusannya dalam semakan kehakiman yang difailkan oleh Najib, yang memohon untuk menjalani baki hukuman penjaranya di rumah.

Bekas perdana menteri itu kini menjalani hukuman penjara selepas disabitkan bersalah oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan menyalahgunakan kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB.

Dalam kes berprofil tinggi itu, Najib telah menghabiskan semua peringkat rayuannya selepas gagal membatalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Pada 2 Februari tahun lalu, Lembaga Pengampunan mengumumkan bahawa hukuman penjara asal Najib selama 12 tahun serta denda RM210 juta telah dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Menurut kenyataan itu, Najib dijadualkan dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

“Bagaimanapun, sekiranya denda tidak dibayar, tempoh penjara akan ditambah satu tahun dan tarikh pembebasan akan menjadi 23 Ogos 2029,” menurut Lembaga Pengampunan.

Dakwaan wujud perintah adendum

Dua bulan kemudian, pada 1 April 2024, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan mendakwa wujud satu perintah tambahan diraja yang membolehkannya menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri serta kerajaan sebagai responden.

Dalam notis permohonannya, Najib memohon perintah mandamus supaya semua atau mana-mana responden mengesahkan serta memperakui kewujudan perintah tambahan bertarikh 29 Januari 2024 itu.

Beliau juga memohon supaya, jika perintah tersebut wujud, semua atau mana-mana responden melaksanakannya dan memindahkannya segera dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur bagi menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.

Pada 4 Julai 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman Najib dengan alasan afidavit sokongan mengandungi keterangan dengar cakap.

Keputusan itu membawa kepada rayuan di Mahkamah Rayuan, di mana Najib berjaya dalam keputusan majoriti 2-1 apabila mahkamah mengarahkan perkara tersebut dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi untuk pendengaran penuh.

Pejabat Peguam Negara kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan, namun pada 13 Ogos, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan menolak rayuan tersebut dan memutuskan supaya semakan kehakiman itu didengar sepenuhnya berdasarkan merit kes.



Kes berkenaan kembali didengar di Mahkamah Tinggi di hadapan Datuk Alice Loke, yang selepas mendengar hujahan semua pihak, menetapkan 22 Disember sebagai tarikh keputusan.

Sumber: Berita Harian

TERKINI

Polis Nafi Tak Ambil Tindakan Kes Lelaki Dipukul Ramai-Ramai Di Wakaf Bharu
|
Tular di media sosial dakwaan kononnya pihak polis tidak…
Bomba Kelantan Rekod 1,509 Kes Kebakaran Terbuka Sejak Mac, Bachok Tertinggi
|
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan merekodkan peningkatan…
Kelantan Sasar Pasaran China & Singapura, Rangka Promosi Pelancongan Lebih Efektif
|
Kerajaan Negeri Kelantan kini merangka pendekatan promosi pelancongan yang…
Bengkel Kereta Di Jalan Long Yunus Kota Bharu Terbakar, Lima Kenderaan Hangus
|
Sebuah bengkel kereta di Jalan Long Yunus, Kota Bharu…
Pengeluaran Dron Serangan Iran Meningkat 10 Kali Ganda Sejak Perang
|
Kadar pengeluaran dron serangan Iran dilaporkan meningkat sehingga 10…
YIK Lahirkan 5,720 Huffaz, 432 Graduan Tahfiz Dirai Dalam Majlis Graduasi Kali Ke-16
|
Yayasan Islam Kelantan (YIK) berjaya melahirkan seramai 5,720 huffaz…
Jawatan Kosong Kelantan