KOTA BHARU – Kelantan Red Warriors FC (KRWFC) terus memperkukuh skuad bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro musim ini apabila mengumumkan kemasukan penyerang import baharu, Ismael Salim Dunga, bersama tiga lagi pemain tempatan berprofil menarik.
Menurut laman bola sepak antarabangsa Transfermarkt, Dunga, penyerang kelahiran Kenya berusia 32 tahun, sah menyertai KRW pada 31 Ogos 2025. Beraksi di posisi penyerang tengah dengan ketinggian 1.87 meter, beliau memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa termasuk bersama kelab Sagan Tosu dan Kamatamare Sanuki di Liga Jepun.
Selain Jepun, Dunga turut pernah mewarnai kancah bola sepak di Greece, Albania, Hong Kong, Indonesia dan Zambia sebelum memilih Malaysia sebagai destinasi terbaharunya. Kehadiran beliau diyakini mampu memperkukuh barisan serangan KRWFC yang kini bertekad memberi saingan lebih sengit.
Turut diumumkan ialah kemasukan tiga pemain tempatan:
Rafie Yaacob – Penyerang berpengalaman yang pernah menjadi tonggak UiTM FC di Liga Super (2019–2021) dan Liga Perdana (2022). Sepanjang dua musim terakhir bersama KL Rovers di Liga A1, Rafie tampil cemerlang dengan rekod 9 gol (2023) dan 8 gol (2024), menjadikannya antara penyerang prolifik liga tersebut.
Wan Muhammad Mikhaill Bin Wan Zakaria – Pertahanan muda berusia 19 tahun dengan ketinggian 180cm yang dikenali dengan ketenangan serta disiplin tinggi di posisi pertahanan tengah. Pernah mewakili Kelantan FA Belia, Piala Mas Raja-Raja 2024 serta All India International Tournament 2024, penyertaan Mikhaill dilihat sebagai pelaburan jangka panjang KRW.
Abdul Latiff Suhaimi – Pemain berpengalaman yang pernah menyarung jersi Pulau Pinang, Kedah, T-Team, Felda United, Terengganu dan Selangor. Beraksi musim lalu bersama PT Athletic FC, Latiff kini menjadi taruhan KRW untuk menambah kekuatan benteng pertahanan dengan pengalaman luasnya dalam Liga Malaysia.
Kemasukan keempat-empat pemain ini menggambarkan kesungguhan KRWFC dan jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti, untuk membentuk skuad seimbang antara tenaga muda dan pengalaman, sekali gus meningkatkan keyakinan pasukan dalam usaha mara ke Liga Super musim depan. –#KelantanDaily
