Bukit Bunga bakal jadi pusat ekonomi baharu sempadan Malaysia-Thailand
Kerajaan Kelantan merancang menjadikan Bukit Bunga di Tanah Merah sebagai pusat pertumbuhan ekonomi baharu yang menghubungkan Malaysia dan Thailand sekali gus menghidupkan semula potensi pelancongan serta perdagangan di kawasan sempadan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Perdagangan dan Keusahawanan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, langkah itu sudah dimasukkan di bawah Rancangan Tempatan Jajahan Tanah Merah 2020 (Pelanjutan 2025) yang menumpukan kepada pembangunan pelancongan sempadan.
“Bukit Bunga merupakan salah satu pekan penting dalam jajahan Tanah Merah. Lokasinya strategik di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dan terletak di pintu sempadan negara antara Malaysia dan Thailand melalui Bukit Bunga–Buketa,” katanya.
Menurut beliau, pembangunan di kawasan itu akan dibuat secara komprehensif dengan keutamaan kepada aktiviti perniagaan serta komponen sokongan lain yang mampu merancakkan ekonomi tempatan.
Antara komponen utama yang akan dibangunkan termasuk Kompleks Niaga Bukit Bunga, Zon Bebas Cukai, R&R Bukit Bunga, Terminal Pengangkutan Bersepadu, dan Kawasan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Selain itu, projek turut melibatkan pembinaan pusat pelancongan, institusi pendidikan, perpustakaan awam, masjid, dewan serbaguna, kawasan rekreasi dan pusat keselamatan.
“Secara keseluruhannya, kawasan promosi pembangunan di Bukit Bunga melibatkan keluasan 143.40 hektar atau kira-kira 10.3 peratus daripada keseluruhan kawasan Bukit Bunga,” katanya semasa menjawab soalan ADUN Bukit Bunga, Mohd. Almidi Jaafar dalam Persidangan DUN Kelantan (Belanjawan) di Kota Darulnaim, hari ini.
Langkah ini dilihat mampu menjadikan Bukit Bunga bukan saja sebagai pintu masuk utama pelancong dari Thailand, malah hab perdagangan dan perniagaan baharu di sempadan Kelantan.
Sumber: Utusan
