Mek Manis Kongsi Kemeriahan Deepavali, Hidang Tose, Kari Dan Ulam Budu

Bukan sahaja fasih bertutur dalam loghat Kelantan yang pekat, seorang wanita berketurunan India ini turut mempunyai kegemaran terhadap ulam budu sehingga menjadi antara hidangan wajib dalam keluarganya.

Lebih menarik, makanan tradisional Kelantan itu bukan sahaja digemari ahli keluarganya, malah turut menjadi kegemaran saudara-mara dan rakan pelbagai kaum yang berkunjung ke rumahnya setiap kali sambutan Deepavali.

G. Thanaletchumi, 48, atau lebih mesra dikenali sebagai 'Mek Kelate Mek Manis', berkata pengaruh budaya tempatan sudah sebati dalam kehidupan hariannya meskipun tetap mengekalkan warisan dan tradisi masyarakat India.

Mek Kelate Mek Manis

Foto: Bernama


"Keluarga memang menggemari ulam dan ulam budu selain masakan kari yang disukai suami dan anak saya," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Malah, menurutnya, sesiapa yang mendengar perbualan mereka tanpa melihat wajah mungkin menyangka seluruh ahli keluarganya merupakan orang Melayu kerana penggunaan dialek Kelantan yang begitu pekat.

"Orang lain mungkin menyangka kami orang Melayu sekiranya mendengar kami bertutur menggunakan dialek Kelantan yang pekat tanpa melihat wajah kerana dialek ini sudah menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.



"Bagaimanapun, bahasa ibunda tidak dilupakan. Kami masih bercakap dalam bahasa Tamil, khususnya ketika berinteraksi dengan golongan yang lebih tua," katanya.

Thanaletchumi yang juga seorang pempengaruh media sosial dikenali kerana kebolehannya bertutur dalam loghat Kelantan sambil mempromosikan budaya serta makanan tempatan.

Deepavali tetap meriah dengan tradisi keluarga

Biarpun sudah begitu sebati dengan budaya masyarakat Kelantan, Thanaletchumi tetap memastikan warisan keluarga dan tradisi masyarakat India tidak dilupakan, khususnya menjelang sambutan Deepavali.

Ibu kepada dua anak lelaki itu berkata persiapan menyambut perayaan berkenaan biasanya bermula lebih dua bulan awal.

Antara yang dilakukan termasuk membeli pakaian baharu, menyediakan bahan untuk membuat kuih tradisional serta menghias rumah bagi menyambut tetamu.

Seminggu sebelum perayaan, beliau biasanya mula menyediakan pelbagai juadah tradisional seperti muruku, nei urundai dan athiresam atau kuih peneram.

Pada pagi Deepavali pula, hidangan seperti tose bersama kari kambing atau ayam menjadi antara menu yang paling dinantikan tetamu.

Menariknya, rakan-rakan berbangsa Melayu juga antara yang paling teruja untuk menikmati hidangan berkenaan.

"Seminggu sebelum Deepavali, saya menyediakan kuih tradisional seperti muruku, nei urundai dan athiresam (kuih peneram) … pada hari perayaan, tose dan kari kambing atau ayam menjadi hidangan sarapan yang sering dinantikan tetamu, khususnya rakan berbangsa Melayu," katanya.

Rumah terbuka satukan jiran pelbagai kaum

Seperti masyarakat lain yang menyambut perayaan, Thanaletchumi turut mengadakan rumah terbuka dengan mengalu-alukan kehadiran jiran serta sahabat daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina dan Siam.

Malah, ada antara mereka yang sudah bertanyakan menu lebih seminggu sebelum Deepavali kerana tidak mahu terlepas peluang berkunjung ke rumahnya.

“Ada yang sudah bertanya seminggu lebih awal menu yang akan dimasak kerana mereka mahu datang beraya. Bagi saya, itulah kemeriahan sebenar Deepavali apabila dapat berkongsi makanan, kasih sayang dan kegembiraan dengan masyarakat berlainan kaum,” katanya.

Mengimbau kenangan paling manis, Thanaletchumi berkata keluarganya pernah memasang khemah di rumah mereka di Lundang sehingga suasananya seakan-akan kenduri di kampung.

Lebih istimewa, jiran berbangsa Melayu turut datang membantu menyediakan makanan apabila melihat terlalu ramai tetamu yang berkunjung.

"Memang meriah sangat ketika itu. Ramai yang datang sehingga kami tidak menang tangan melayan tetamu. Jiran Melayu pun dapat membantu apabila melihat terlalu ramai orang di rumah, itulah pengalaman yang paling saya ingat kerana dapat merasai kemeriahan Deepavali bersama-sama masyarakat setempat," katanya.

Tradisi perlu diwarisi generasi muda

Sementara itu, suaminya, M.S. Murugaih, 51, berkata tradisi masyarakat India perlu terus dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda.

Menurutnya, anak-anak perlu didedahkan dengan adat serta amalan keluarga sejak kecil supaya warisan berkenaan tidak dilupakan apabila mereka dewasa.

Anak mereka, M. Sai Siddhart, 19, pula berkata pengalaman membesar dan bergaul dengan rakan-rakan Melayu sejak kecil menjadikannya selesa hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

Malah, beliau yang merupakan satu-satunya pelajar India di sekolah menengahnya melihat pengalaman tersebut sebagai sesuatu yang membantu memperkukuh hubungan dan perpaduan antara kaum.

Kisah keluarga Thanaletchumi memperlihatkan bagaimana perbezaan bangsa, bahasa dan agama bukan penghalang untuk berkongsi budaya serta menikmati kemeriahan sesuatu perayaan bersama-sama.

Di Kelantan, mungkin ada yang lebih mengenali beliau sebagai Mek Kelate Mek Manis, tetapi di sebalik nama itu tersimpan kisah sebuah keluarga yang terus memelihara warisan sendiri sambil menjadikan budaya tempatan sebagai sebahagian daripada kehidupan mereka.

Sumber: Bernama


TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!