Cipta Sejarah, 25 Pimpinan Pemuda UMNO Hadir Muktamar Pemuda PAS

Kehadiran 25 pimpinan Pemuda UMNO ke Muktamar Dewan Pemuda PAS Kali Ke-67 di Kota Bharu pada Khamis disifatkan sebagai satu catatan sejarah dalam usaha memperkukuh agenda penyatuan ummah.

Rombongan itu diketuai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh serta melibatkan pimpinan di peringkat pusat dan negeri Kelantan.

Menurut laporan Sinar Harian, Pemuda UMNO pada asalnya hanya menerima jemputan untuk menghantar lima wakil. Bagaimanapun, jumlah yang hadir meningkat kepada 25 orang sebagai tanda sokongan terhadap agenda penyatuan yang dibawa Dewan Pemuda PAS.

“Hari ini kami membuktikan bahawa terciptanya sejarah, 25 orang itu membawa maksud yang sangat mendalam iaitu pimpinan Pemuda UMNO di Pusat dan juga pimpinan Pemuda UMNO di Negeri Kelantan.

“Kami tidak ada agenda yang lain kecuali untuk menyatukan ummah,” kata Akmal selepas menghadiri muktamar tersebut.

Tema Hampir Sama

Akmal berkata, tema Muktamar Dewan Pemuda PAS iaitu ‘Memimpin Penyatuan’ turut mempunyai persamaan dengan tema yang akan dibawa Pemuda UMNO dalam program mereka pada minggu depan.

Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan usaha penyatuan tidak lagi sekadar dibincangkan, sebaliknya mula diterjemahkan melalui hubungan antara pimpinan Pemuda UMNO dan PAS di beberapa negeri.

“Kami dah mulakan di Johor, Negeri Sembilan dan sepatutnya kami akan teruskan bukan sahaja di Melaka sehingga InsyaALLAH, selama-lamanya.

“Berpecah tidak pernah menguatkan, apabila bersama akan lebih menguatkan kita,” katanya.

Beliau menjelaskan, usaha penyatuan berkenaan bukan hanya berkisar mengenai kepentingan orang Melayu.

Sebaliknya, penyatuan perlu dimulakan dalam kalangan kelompok utama di negara ini sebelum diperluaskan kepada masyarakat lain.

MIC Beri Respons Positif

Akmal turut memaklumkan bahawa agenda penyatuan berkenaan menerima respons positif daripada parti komponen Barisan Nasional termasuk MIC.

Beliau berkata, penerimaan itu dapat dilihat ketika menghadiri program Pemuda MIC di Melaka baru-baru ini.

“Kita nak satukan Melayu, satukan Islam dan akhirnya yang lain-lain akan bersama-sama dengan kita,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!