Pendaki termuda Malaysia yang pernah menawan Gunung Everest, Muqharabbin Mokhtarrudin menjelaskan pembelian tongkat milik Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada harga RM16,500 bukan didorong perasaan taksub.
Menurut laporan Malaysiakini, Muqharabbin memenangi bidaan tongkat kayu kemuning itu dalam satu lelongan amal bagi mengumpulkan dana untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Bidaan bagi tongkat yang mempunyai ukiran “TGHH”, mewakili Tuan Guru Haji Abdul Hadi, bermula pada harga RM2,500 sebelum berakhir dengan bidaan RM16,500.
“Saudara, kenapa saya bida tongkat ayah cik Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang?
“Bukan kerana nilai sebuah tongkat dan bukan kerana taksub kepada manusia tapi kerana ia menjadi kenangan dan peringatan sepanjang hidup saya,” katanya.
Muqharabbin yang pernah mencipta nama sebagai pendaki termuda Gunung Everest ketika berusia 22 tahun merupakan pemimpin akar umbi PAS Kuala Lumpur.
Beliau sebelum ini pernah bergiat bersama UMNO dan Bersatu sebelum menyertai PAS kira-kira dua bulan lalu.
Momen terindah
Muqharabbin menerusi media sosial menyifatkan malam lelongan tersebut sebagai antara momen terindah buat dirinya.
“...dapat berada dekat dengan seorang murabbi serta dalam masa yang sama dapat menyumbang kepada perjuangan PAS Melaka dan juga insya-Allah PAS Malaysia,” katanya.
Menurutnya, tongkat tersebut akan menjadi peringatan bahawa kekuatan jasmani yang dimiliki seseorang tidak akan kekal selama-lamanya.
“Namun yang paling penting tongkat ini menjadi ingatan kepada diri saya sendiri. Ya, ingatan keras.
“Hari ini kita masih kuat, masih mampu berjalan, mampu mendaki puncak tertinggi dunia, mampu berlari 50km, mampu berkayuh keliling dunia, bekerja dan berjuang di mana saja.
“Tetapi kekuatan itu tidak akan kekal selamanya. Jika Allah panjangkan usia suatu hari nanti saya juga akan tua dan mungkin akan bertongkat sama,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan agar kudrat yang masih ada digunakan sebaiknya untuk terus berjuang.
“Jangan tunggu sehingga kita sudah tidak mampu. Tiada perasaan taksub kepada makhluk Allah.
“Penghormatan tertinggi kita kepada manusia hanyalah kepada junjungan besar baginda.”
Makna di sebalik RM16,500
Muqharabbin turut menjelaskan bahawa angka 165 dalam nilai bidaan RM16,500 membawa simbol tersendiri buat dirinya.
Angka satu katanya melambangkan ihsan, enam merujuk kepada rukun iman, manakala lima pula mewakili rukun Islam. Dua angka kosong pula melambangkan manusia meninggalkan dunia tanpa membawa segala yang dimiliki.
“Bukan tafsiran agama terhadap angka sekadar simbol untuk mengingatkan diri agar menjaga Islam, iman dan ihsan hingga akhir hayat.
“Kerana akhirnya segala yang ada di bumi itu akan binasa,” katanya.
“Sebuah tongkat, sebuah kenangan tetapi membawa peringatan keras dan besar sepanjang kehidupan saya.”
Tongkat kayu kemuning dikenali sebagai antara tongkat berkualiti dan lazimnya dijual pada harga antara RM50 hingga ribuan ringgit bergantung pada jenis serta kualitinya.
Sumber: Suffi Kamari, Malaysiakini
