Penantian lebih sedekad untuk mengetahui penghujung siasatan kematian Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman akhirnya berakhir apabila keluarganya menerima keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan kes itu sebagai No Further Action (NFA).
Walaupun siasatan forensik sebelum ini menemui tompokan darah daripada DNA individu lain pada pakaian Allahyarham, ibu mangsa, Ruhani Hussain, berkata pihak berkuasa memaklumkan bukti tersebut tidak mencukupi untuk mengenal pasti pelaku atau membuktikan penglibatan mana-mana individu dalam menyebabkan kematian anaknya.
"Keluarga mengambil maklum dan menghormati keputusan yang telah dibuat oleh AGC," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Terima Kasih Kepada Semua Yang Membantu
Ruhani turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak berkuasa dan agensi yang terlibat dalam siasatan sepanjang tempoh kes berkenaan.
Beliau juga berterima kasih kepada barisan peguam yang memberikan khidmat guaman, nasihat serta komitmen tinggi sepanjang membantu keluarga.
Menurutnya, sokongan rakyat Malaysia, ahli keluarga, sahabat handai dan pihak media sejak hari pertama turut menjadi kekuatan buat mereka menghadapi detik sukar itu.
Beliau turut mendoakan agar Allahyarham Wan Ahmad Faris diampunkan segala dosa, dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sempat Dapat Sinar Baharu Di Mahkamah
Pada 14 April lalu, Mahkamah Tinggi di Kota Bharu menolak permohonan defendan untuk membatalkan saman yang difailkan keluarga, sekali gus membuka laluan kepada perbicaraan penuh.
Allahyarham Wan Ahmad Faris, yang merupakan pelajar sebuah maahad tahfiz di Kok Lanas, ditemukan meninggal dunia dalam keadaan tergantung di kawasan tandas pada tahun 2013.
Sebelum ini, Ruhani menyifatkan keputusan mahkamah tersebut sebagai sinar baharu buat beliau dan suaminya dalam usaha mencari keadilan bagi kematian anak mereka.
Sumber: Sinar Harian
