Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menggunakan kira-kira 400,000 liter air sehari bagi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Bukit Che Ros, Tanah Merah sejak 3 April lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Ahmad Izram Osman berkata, kebakaran itu membabitkan kawasan seluas empat hektar.
Menurut beliau, pihak syarikat pengurusan tapak pelupusan berkenaan pada awalnya cuba memadam api, namun gagal apabila kebakaran merebak ke kawasan lebih luas.
“Pihak JBPM Kelantan kemudian dimaklumkan untuk memimpin operasi pemadaman,” katanya selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Kelantan di sini, pada Isnin.
20 Anggota Digerakkan Setiap Hari
Ahmad Izram berkata, seramai 20 anggota digerakkan setiap hari bagi menjayakan operasi pemadaman dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi lain.
Beliau memaklumkan, operasi pemadaman menggunakan dua lori tangki air, dua water dam dan dua pam angkut.
Bagaimanapun, operasi berdepan cabaran apabila tapak pelupusan berada di atas bukit dan tiada sumber air terbuka.
“Faktor tiupan angin yang kuat di atas bukit juga menambah kesukaran,” katanya.
Menurut beliau, jumlah penggunaan air sehingga kini sudah mencecah 1.6 juta liter, dan kebakaran dijangka mengambil masa kira-kira tujuh hari untuk dipadam sepenuhnya.
Exco Negeri Turun Padang Tinjau Lokasi
Dalam perkembangan sama, Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan, YB Hilmi Abdullah turut meninjau lokasi kebakaran bagi melihat sendiri operasi pemadaman serta langkah kawalan yang dilaksanakan.
YB Hilmi Abdullah melawat lokasi kebakaran (Foto: FB UPKN Kelantan)
Beliau berkata, lawatan itu dibuat bagi menilai situasi semasa termasuk keberkesanan tindakan mengawal asap dan sisa pembakaran supaya tidak menjejaskan kualiti udara serta kesihatan penduduk sekitar.
Menurutnya, operasi pemadaman giat dijalankan dengan kerjasama JBPM, Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta pihak berkuasa tempatan berhampiran.
“Kerjasama pelbagai agensi amat penting bagi memastikan kebakaran ini dapat dikawal dengan segera, selain mengurangkan kesan asap dan sisa pembakaran kepada penduduk sekitar,” katanya menerusi media sosial pada Isnin.
Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pemadaman.
“Terima kasih kepada semua yang bertungkus-lumus. Diharapkan api dapat dipadamkan sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya.
Insiden kebakaran tersebut kini berada dalam pemantauan berterusan pihak berkuasa bagi memastikan keadaan terkawal serta tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat.
Sumber: Harian Metro, inforakyat.kelantan
SHARE:
