Pesara Polis Dari Bachok Kongsi Detik Ngeri Ditembak 3 Kali, Dicampak Atas Timbunan Mayat

Peristiwa terselamat selepas ditembak tiga kali termasuk di kepala ketika menjalankan operasi menentang komunis di hutan tebal, masih segar dalam ingatan seorang pesara polis walaupun sudah lebih 50 tahun berlalu.

Pesara polis, Mohd Yusof Shaharum, 77, berkata insiden hitam itu berlaku pada 16 Mei 1972 ketika beliau terlibat dalam satu operasi di kawasan hutan Mong Gajah, Kedah.

Mohd Yusof yang mula berkhidmat pada tahun 1969 di bawah Batalion Ke-11 Pasukan Polis Hutan (PPH), berpangkat Lans Koperal ketika itu.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika unitnya melaksanakan Ops Gubir bagi mengesan dan membanteras kumpulan pengganas komunis yang dipercayai aktif dalam kawasan hutan tebal.

“Ketika itu, kami berada dalam satu platun bawah pegawai pemerintah kompeni. Tiba-tiba, kami terdengar bunyi tembakan. Konvoi kami diserang hendap. Kami semua terus berjaga-jaga.

“Namun, lori yang kami naiki tiba-tiba hilang kawalan ketika cuba mengelak gaung lalu terbabas dan melanggar cerun,” katanya.

Tiga Anggota Terkorban, Bom Tangan Turut Dilempar

Menurut Mohd Yusof, kemalangan itu meragut nyawa tiga anggota yang berada dalam kenderaan berkenaan.

Dalam keadaan genting itu, beliau berkata mereka turut diserang dengan bom tangan yang dilemparkan pihak musuh.

Beliau turut tercampak keluar dari lori akibat kejadian itu dan cuba mencapai senjata namun terasa sakit membakar di paha sebelum menyedari dirinya terkena tembakan.

“Saya cuba mencapai senjata tetapi terasa sakit membakar di peha,” katanya.

Dicampak Atas Timbunan Mayat

Ketika terbaring dalam keadaan cedera, Mohd Yusof berkata beliau melihat tiga anggota komunis turun dari kawasan bukit.

“Mereka kemudian mengangkat dan mencampakkan saya ke atas timbunan mayat sebelum beredar dari situ,” katanya.

Apa yang paling melekat dalam ingatannya adalah suara individu yang memberi arahan kepada kumpulan musuh ketika itu.

“Yang memberi arahan itu adalah seorang wanita. Dia bercakap dalam bahasa Cina. Saya masih ingat dengan jelas,” katanya.

Cedera Kepala, Paha Dan Siku

Mohd Yusof mengalami kecederaan di bahagian kiri kepala, paha kiri serta siku kanan, sebelum anggota pasukannya yang terselamat menghantar beliau dan beberapa yang lain ke hospital di Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Mengimbau lanjut, beliau berkata dirinya menggunakan senjata jenis SLR, manakala pihak musuh dipercayai bersenjatakan raifal M13 Armalite.

Beliau turut mendedahkan sepatutnya konvoi pada hari kejadian diiringi kenderaan berperisai, namun ia tidak hadir.

“Bagaimanapun, OC (pegawai pemerintah) tetap membuat keputusan untuk meneruskan pergerakan,” katanya.

Tukar Lori, Nyawa Terselamat

Menurutnya lagi, beliau biasanya menaiki lori terakhir dalam konvoi, namun pada hari kejadian beliau berpindah ke kenderaan ketiga.

Keputusan itu akhirnya menyelamatkan nyawanya kerana tiga anggota yang terkorban adalah mereka yang berada dalam lori terakhir.

Selepas kejadian itu, Mohd Yusof meneruskan perkhidmatan sehingga bersara pada 1 November 1994.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima kunjungan hormat Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, di kediamannya di Kampung Kubang Kawah, Perupok, sempena Sambutan Hari Polis Ke-219.


Sumber: Berita Harian

SHARE:

TERKINI

Penoreh Getah Dipenjara 24 Tahun, 12 Sebatan Amang Seksual Anak Kandung
|
Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman penjara 24 tahun dan…
Inspektor Polis Didakwa Minta, Terima Suapan RM12,000 Di Jeli
|
Seorang pegawai polis berpangkat inspektor didakwa di Mahkamah Sesyen…
Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!