Air Sungai Kelantan Bertukar Hijau Bukan Tanda Makin Bersih, Pakar Jelaskan Punca Sebenar

Fenomena perubahan warna air sungai menjadi kehijauan serta penyusutan paras air di beberapa sungai di Kelantan ketika ini berpunca daripada cuaca kering berpanjangan dan tekanan ekosistem, bukannya petunjuk bahawa sungai semakin bersih.

Ketua Kumpulan Penyelidikan Ketahanan Iklim, Air dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Bumi, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Mohamad Faiz Mohd Amin, berkata kedua-dua situasi itu saling berkait akibat ketiadaan hujan.

Beliau berkata, ketika musim hujan, Sungai Kelantan biasanya membawa beban sedimen terampai yang tinggi akibat hakisan, menyebabkan air berwarna keruh dan coklat.

Namun, pengurangan jumlah hujan memperlahankan aliran air dan menurunkan kadar hakisan, sekali gus menyebabkan kuantiti sedimen terampai yang masuk ke dalam sungai berkurangan secara ketara.

Perubahan Fizikal, Bukan Kualiti Air

“Perubahan ini sering disalah tafsir sebagai peningkatan kualiti air. Hakikatnya, ia hanyalah perubahan fizikal.

“Apabila air menjadi lebih jernih, cahaya matahari menembusi lebih dalam dan menonjolkan warna semula jadi sistem akuatik, termasuk kehadiran fitoplankton atau alga pada tahap tertentu,” katanya kepada Bernama.

sungai kelantan kehijauan

Foto: UPKN Kelantan


Mohamad Faiz berkata sungai yang mengalir seperti Sungai Kelantan tidak mudah mengalami ledakan alga berskala besar.

“Oleh itu, warna hijau ini lebih munasabah dikaitkan dengan pengurangan sedimen berbanding kehadiran alga sebagai punca utama,” katanya.

Paras Sungai Golok Susut, Risiko Pencemaran Jadi Lebih Pekat

Mengulas penyusutan paras air Sungai Golok kepada 3.26 meter, jauh di bawah paras normal lima meter, beliau memberi amaran keadaan itu mengurangkan keupayaan sungai untuk mencairkan bahan pencemar.

Menurutnya, apabila isi padu air berkurangan, bahan seperti nutrien daripada sisa pertanian atau pelepasan sisa akan menjadi lebih pekat, manakala suhu air juga akan meningkat.

“Keadaan ini boleh menjejaskan kualiti air dan memberi tekanan kepada hidupan akuatik. Kesannya boleh menjangkau kepada ancaman terhadap bekalan air mentah dan air minuman harian penduduk,” katanya.

Indikator Awal Krisis Keselamatan Air

Beliau turut berkata fenomena yang berlaku di Kelantan ketika ini adalah indikator awal krisis keselamatan air yang didorong oleh perubahan iklim, memandangkan corak hujan semakin tidak menentu dan tempoh kemarau menjadi lebih panjang.

“Sungai yang kelihatan lebih 'cantik' hari ini mungkin sebenarnya sedang kehilangan keupayaan semula jadinya untuk menyokong kehidupan.

sungai kelantan hijau

Foto: UPKN Kelantan


“Oleh itu, pendekatan pengurusan sumber air perlu berubah kepada sistem yang lebih adaptif, berasaskan data dan responsif terhadap perubahan iklim,” katanya.


Sumber: Bernama

SHARE:

TERKINI

Tiga Lelaki Ditahan, Pondok Proses Air Ketum Diserbu PGA Di Tumpat
|
Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan satu kegiatan pemprosesan…
Curi RM50 Tabung Masjid Di Wakaf Bharu, Penganggur Dipenjara Lima Bulan
|
Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah…
Selepas Empat Tahun Berehat, Rahim Maarof Berkeras Mahu Buat Persembahan Di Kota Bharu
|
Empat tahun berehat daripada dunia nyanyian bukanlah tempoh yang…
Penarik Kereta Direman Selepas Disyaki Edar Pil Kuda Bernilai RM61,000 Di Tumpat
|
Seorang duda yang mempunyai dua anak direman selama tujuh…
KRW FC Tangguh Pengambilan Pemain Baharu, Tunggu Isu Teknikal Selesai
|
Ketua Jurulatih Kelantan Red Warriors (KRW) FC, Irfan Bakti…
46 Projek Bernilai RM207.2 Juta Diluluskan Untuk Pasir Puteh
|
Pasir Puteh bakal menerima suntikan pembangunan apabila kerajaan meluluskan…
Jawatan Kosong Kelantan
error: Content is protected !!