Selepas hampir sedekad menyepi, acara ikonik Walkathon D’Raja, Walk With Me kembali mewarnai negeri Kelantan dengan penyertaan istimewa Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bersama Sultanah Kelantan, Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, yang bakal mencemar duli berjalan kaki bersama rakyat pada 14 Februari ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal berkata, acara kemuncak edisi keenam itu akan bermula di Stadium Sultan Muhammad IV pada jam 7.30 malam dan dijangka menarik lebih 15,000 penyertaan.
Menurut beliau, program ini dihidupkan semula selepas kali terakhir dianjurkan pada tahun 2016, sebagai usaha mengembalikan semangat kebersamaan antara institusi diraja dan rakyat Kelantan.
“Program Walkathon D’Raja, Walk With Me merupakan cetusan idea Sultan Muhammad V sendiri dengan matlamat untuk merapatkan hubungan baginda dengan rakyat, di samping memupuk gaya hidup sihat serta memperkukuh silaturahim masyarakat Kelantan,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Kompleks Darul Naim, pada Selasa.
Program tahun ini turut membawa tema istimewa ‘In The Memory of Dato’ KY’ sebagai penghormatan mengenang jasa Allahyarham Datuk Tengku Ibrahim Farihaddin Tengku Feissal, bekas Bendahari Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi, yang banyak menyumbang tenaga sejak program itu diperkenalkan pada 2011.
Walkathon ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan Al-Muhammadi dengan kerjasama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, manakala pendaftaran penyertaan dibuat secara dalam talian menerusi laman web rasmi walkwithme.my.
Selain acara kemuncak walkathon sejauh 3.2 kilometer, Karnival Walkathon D’Raja turut dianjurkan selama tiga hari bermula 12 Februari, dengan pelbagai pengisian menarik termasuk festival makanan, pameran agensi kerajaan dan swasta, pertunjukan gajah, tahlil, ceramah keagamaan serta aktiviti kebudayaan dan sukan.
Antara aktiviti lain yang turut diadakan ialah senamrobik, pertandingan memasak, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pertunjukan teh tarik.
Acara perasmian pada malam 14 Februari nanti turut akan diserikan dengan pertunjukan 350 dron bercahaya, yang dijangka menjadi tarikan utama kepada pengunjung.
Yuran penyertaan ditetapkan sebanyak RM45 bagi individu, badan kerajaan dan swasta, manakala RM30 bagi pelajar. Setiap peserta berdaftar akan menerima baju rasmi program dan sijil penyertaan.
Untuk rekod, Walkathon D’Raja pernah mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records pada tahun 2011 sebagai penyertaan walkathon diraja terbesar dengan penglibatan lebih 30,000 individu.
Sumber: Sinar Harian
SHARE:
