Pemuda Buta Dan Kudung Tangan Kiri Akibat Main Mercun Kini Jadi Guru Al-Quran

Seorang pemuda yang buta dan kudung tangan kiri akibat insiden tragis letupan mercun buatan sendiri lapan tahun lalu kini bangkit sebagai guru al-Quran Braille, membantu golongan orang kurang upaya (OKU) penglihatan mendekati kalam ALLAH.

Eiman Najwan Anwar Fuad, 22, kini aktif mengajar asas serta bacaan al-Quran Braille kepada golongan dewasa dan warga emas selepas menguasai pembelajaran al-Quran Braille sejak 2023.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, minatnya terhadap al-Quran tidak pernah pudar meskipun berdepan kekangan fizikal, malah kerinduan kepada kalam ALLAH menjadi pendorong utama untuk bangkit selepas melalui fasa kemurungan hampir setahun.

“Dulu saya boleh membaca al-Quran dengan melihat guna mata.

“Apabila hilang penglihatan, saya rasa kosong, rindu sangat pada al-Quran dan akhirnya al-Quran juga yang menarik saya kembali bersemangat,” katanya ketika ditemui semasa Majlis Perasmian Pusat Pengajian Al-Quran Pertis di Kota Bharu, pada Rabu.

Eiman Najwan mula mempelajari al-Quran Braille dengan bimbingan arwah ustaz Mohd Nazri Nawi sebelum berjaya menguasai asas huruf Braille dan Jawi dalam tempoh singkat.

Keupayaan itu membuka jalan untuk beliau berkhidmat sebagai tenaga pengajar sepenuh masa Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Kelantan sejak 2024.

Mengimbau kembali kejadian tragis itu, Eiman Najwan berkata, insiden letupan mercun buatan sendiri berlaku pada jam 11 malam, 29 Mei 2018 ketika beliau berusia 14 tahun dan sedang bermain bersama dua rakan berhampiran rumahnya di Kampung Panji dalam bulan Ramadan.

3416563

Eiman Najwan semasa dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, lapan tahun lalu kerana terkena letupan mercun. (Foto: Sinar Harian)



Menurutnya, belerang dimasukkan dalam jumlah yang banyak ke dalam botol kaca sebelum ia meletup di atas bara api.

“Saya kena letupan dan berlumuran darah sebelum dibawa ke hospital,” katanya.

Letupan tersebut menyebabkan tangan kiri Eiman Najwan hancur, manakala kedua-dua matanya buta, dengan mata kanan buta sepenuhnya dan mata kiri hanya mampu melihat cahaya.

Ibunya, Rozita Zakaria, 49, yang ketika itu berada di rumah, turut mengalami detik cemas apabila pengsan selepas menyedari mangsa letupan parah yang dipeluknya adalah anak sendiri.

Kini, meskipun kehilangan penglihatan dan anggota tangan, Eiman Najwan bersyukur kerana masih diberi peluang untuk membaca al-Quran melalui Braille serta membantu insan senasib mendalami ilmu agama.

“Sekarang saya dah tak nampak, tapi tak apa. Saya masih boleh baca al-Quran Braille dan tolong orang buta lain belajar mengaji sama-sama,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

SHARE:

TERKINI

“Sebagai Bapa, Saya Maafkan Guru Berkenaan” – Bapa Pelajar Maut Dirempuh Di Sekolah
|
Tragedi pilu yang meragut nyawa pelajar Tingkatan Satu, Nur…
Guru Disyaki Rempuh Dua Pelajar Depan Surau Sekolah Di Kota Bharu Dibawa Ke Mahkamah
|
Kes kemalangan tragis yang mengorbankan seorang pelajar Tingkatan Satu…
Iran Telah Lama Bersedia Hadapi Perang Berpanjangan Selama 6 Bulan
|
Iran dilaporkan bersedia menghadapi kemungkinan perang berpanjangan sehingga enam…
Tragedi Pelajar Maut Di Kota Bharu Perlu Jadi Iktibar, Elak Kecuaian – PM
|
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tragedi yang…
Tular Video Pemandu Bas Didakwa Pandu Sambil Meriba Wanita
|
Satu video yang tular di media sosial mencetuskan kemarahan…
AS Dakwa China Bersedia Hantar Sistem Pertahanan Udara Baharu Kepada Iran
|
Perisikan Amerika Syarikat (AS) mendakwa China sedang bersiap sedia…
Jawatan Kosong Kelantan