“Kami sempat berpegang tangan, tapi terlepas sebab arus sangat deras”

“Tangan kami terlepas… saya yang lemas, dia yang meninggal dunia.”

Itu luahan penuh pilu Mohamad Syakir Iqbal Mohd Shaharudin, 15, ketika mengimbau detik terakhir bersama adiknya, Mohamad Syafi Irsyad, 13, yang maut dihanyutkan arus deras Sungai Ulu Sat, Kampung Belukar, pada Jumaat.

Dalam nada sebak, remaja itu berkata dia hanya mampu menangis dan memanggil nama adiknya berkali-kali sebelum Mohamad Syafi Irsyad hilang dari pandangan mata.

Pelajar Pendidikan Khas Program Integrasi (PKPI) SMK Machang itu berkata, kejadian berlaku ketika dia, adiknya dan seorang rakan berada di kawasan pintu air sungai berkenaan, sekadar mahu melihat keadaan air.

“Kami bukan mandi, cuma tengok air. Saya tergelincir dan jatuh ke dalam sungai sebab licin ketika panjat tiang pagar di pintu air itu.

Adik terus terjun untuk selamatkan saya. Kami sempat pegang tangan, tapi terlepas sebab arus sangat deras,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Banggol Judah, pada Sabtu.

Menurut Mohamad Syakir Iqbal, dia sempat berpaut pada batu hampir setengah jam sebelum diselamatkan penduduk kampung menggunakan tali.

“Sepanjang di atas batu itu, saya cuma menangis… teringatkan adik yang dibawa arus,” katanya lagi.

“Arwah Anak Baik, Tak Pernah Berpisah Dengan Abang”

Sementara itu, ibu mangsa, Norzaizura Che Mat, 41, berkata arwah merupakan anak keempat daripada enam beradik dan pelajar Tingkatan Satu SMK Hamzah 2.

“Arwah anak yang baik dan memang rapat dengan abangnya, ke mana saja pergi mesti bersama,” katanya.

Norzaizura berkata, ketika kejadian beliau dan suaminya, Mohd Shaharudin Mat Noh, 47, tiada di rumah kerana pulang ke kampung di Labok dan hanya dimaklumkan mengenai tragedi itu sekitar jam 4 petang.

Jenazah Mohamad Syafi Irsyad selamat dikebumikan pada jam 11 pagi Sabtu di Tanah Perkuburan Islam Banggol Judah, Machang.

Dihanyutkan Arus Selepas Cuba Selamatkan Abang

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Jumaat, mangsa dipercayai terjun ke sungai sebaik melihat abangnya terjatuh di tebing berhampiran kawasan pintu air.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Ahmad Shafiki Hussin, berkata siasatan awal mendapati abang mangsa terjatuh secara tidak sengaja sebelum mangsa cuba menyelamatkannya.

Menurut beliau, abang mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada tembok penghadang air, namun mangsa dihanyutkan arus deras susulan hujan lebat di kawasan berkenaan.

Selepas kira-kira lima jam operasi mencari dan menyelamat, mayat remaja itu ditemukan orang awam pada jam 9.40 malam, kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang, di Sungai Rawa.



Sumber: Sinar Harian

TERKINI

Lelaki Cuba Lari Selepas Menyeberang Dari Thailand, 402 Pil Yaba Dirampas
|
Pasukan Strike Force Kompeni B Batalion 9 Pasukan Gerakan…
Dibayar RM4,000 Bawa 5Kg Ganja Dari Thailand Ke Kuala Lumpur, 2 Lelaki Ditahan Di Rantau Panjang
|
Pasukan Strike Force/Tiger Platoon Kompeni A Batalion 9 Pasukan…
Wanita Ditahan Bersama 5 Laras Senjata Api Termasuk M16 Di Kuala Krai
|
Polis menahan seorang wanita dan merampas lima laras senjata…
Polis Buru 5 Suspek Kes Tembakan Di Kemahang, Lelaki Cedera Di Dagu
|
Polis kini memburu lima suspek yang disyaki terbabit dalam…
Hujan Lebat Akibatkan Banjir Kilat Di Cameron Highlands
|
Hujan lebat selama lebih dua jam mengakibatkan kejadian banjir kilat…
“Tak Pernah Terfikir Jadi Hafiz, Tapi Di Penjara Saya Hafaz 30 Juzuk”
|
“Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk bergelar hafiz,…
Jawatan Kosong Kelantan