KUALA KRAI – Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Krai menjalankan pemantauan paras air di beberapa kawasan sekitar daerah ini susulan hujan lebat yang melanda sejak petang Jumaat.
Hujan lebat yang bermula sekitar jam 4.30 petang menyebabkan paras air meningkat dengan cepat, sekali gus mengakibatkan limpahan air di beberapa kawasan utama, antaranya Guchil 1, Stesen Minyak Caltex Guchil dan kawasan bawah jambatan kereta api menuju ke pusat bandar Kuala Krai.
Bagi tujuan pemantauan dan keselamatan awam, sepasukan anggota APM Kuala Krai telah digerakkan bersama sebuah kenderaan Land Rover ke lokasi terjejas sekitar jam 6.15 petang.
Ketika pemantauan dijalankan, keadaan cuaca dilaporkan hujan renyai-renyai dan paras air masih terkawal. Tiada pemindahan atau kejadian tidak diingini dilaporkan setakat ini.
Paras air Sungai Kelantan di kawasan tersebut berada pada tahap normal, dan hujan kini semakin reda.
APM Kuala Krai terus menjalankan pemantauan rapi dari semasa ke semasa, khususnya di kawasan berisiko banjir, bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.
Dalam pada itu, APM mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, mengikuti perkembangan terkini daripada sumber rasmi, serta menghubungi talian kecemasan sekiranya berlaku keadaan yang lebih buruk.
#KelantanDaily
Sumber: APM Kuala Krai
